Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. -FOTO Mohd Fadli Hamzah
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. -FOTO Mohd Fadli Hamzah
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang dijalankan bagi penukaran nilai ambang terutama bagi Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila vaksinasi lengkap berjaya diberikan kepada 40 peratus penduduk dewasa negara.

Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang mengkaji cadangan supaya nilai ambang kes baharu PPN ditukar kepada nilai keseriusan kes mengikut kategori ataupun kes kematian.

Beliau berkata, ini bermakna sekiranya kebanyakan kes adalah tidak bergejala atau bergejala ringan, jumlah kes baharu itu bukan lagi nilai ambang yang sesuai dan ia perlu lihat kepada kapasiti kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kadar kematian.

Katanya, sebagai pelan yang progresif dan dinamik, PPN perlu sentiasa berubah mengikut keperluan semasa.

"Ia sebagai usaha untuk mewujudkan nilai ambang yang lebih sesuai mengikut perkembangan dan situasi semasa negara.

"Berdasarkan contoh di negara lain seperti di United Kingdom yang merekodkan penurunan secara mendadak kes Covid-19 bergejala dan kemasukan ke hospital selepas lebih 40 peratus penduduknya divaksinasi penuh.

"Melihat kepada contoh di dalam negara, kadar kemasukan ke wad ICU bagi Labuan dan Sarawak juga menunjukkan penurunan ketara di mana sehingga 23 Julai lalu, Labuan telah berjaya memberi vaksinasi lengkap kepada hampir 73 peratus penduduknya manakala Sarawak pula mencatatkan kadar vaksinasi penuh 53.4 peratus," katanya dalam Laporan Laksana Ke-63 hari ini.

Dalam PPN, nilai ambang peralihan dari Fasa 3 ke 4 adalah kes harian kurang daripada 500 kes, penggunaan katil di wad ICU berada pada paras mencukupi dan kadar vaksinasi pula adalah 60 peratus daripada populasi negara.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Fasa 2 Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) dijangka bermula 5 Ogos ini.

"Sehingga 20 Julai, seramai 24,106 pekerja iaitu 60.26 peratus daripada jumlah pekerja yang telah berdaftar dengan program CIVac, telah menerima dos pertama vaksin.

"Bagi menampung permintaan yang tinggi, Kementerian Kerjasa Raya (KKR) sedang memohon peruntukan vaksin tambahan daripada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk 300,000 pekerja binaan.

"Ini termasuk vaksin tambahan untuk 65,000 pekerja binaan di Kuala Lumpur dan 30,000 di Selangor. Penambahan kuota vaksin akan terus dipohon berdasarkan permintaan semasa oleh industri pembinaan," katanya.

Beliau menjelaskan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga akan menyediakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak sekiranya terdapat permintaan untuk kemudahan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 6:44 PM