Gambar hiasan. FOTO Mikail Ong
Gambar hiasan. FOTO Mikail Ong
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Semua negeri berjaya mencapai nilai ambang 40 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi setakat semalam.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) berkata, pencapaian itu sejajar dengan sasaran ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Sehingga 31 Ogos 2021, semua negeri berjaya mencapai nilai ambang 40 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi yang disasarkan dalam Pelan Pemulihan Negara.

"Tahniah Malaysia dan ayuh teruskan usaha ini," kata JKJAV dalam kenyataan di Facebook hari ini.

JKJAV turut mengemaskini data kadar vaksinasi negara iaitu 64.2 peratus atau 15,032,301 individu daripada populasi dewasa negara ini melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

"Seramai 19,741,754 individu atau 84.3 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam 34,752,340 dos," katanya.

Menurut JKJAV, 60.5 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan negara mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 46.0 peratus melengkapkan vaksinasi.

Sementara itu, vaksinasi harian semalam merekodkan sebanyak 261,768 dos dengan 115,473 daripadanya adalah dos pertama manakala 146,295 melengkapkan penerimaan dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 12:59 PM