ORANG ramai membeli barang keperluan di Pasar Harian Selayang. FOTO Asyraf Hamzah.
ORANG ramai membeli barang keperluan di Pasar Harian Selayang. FOTO Asyraf Hamzah.
Maiamalina Mohamed Amin dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Proses vaksinasi yang berlangsung rancak ketika ini, membolehkan kerajaan menangani kemelut pandemik Covid-19 dengan lebih berjaya, sekali gus memberi keyakinan bagi pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Dengan penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak dan pelaksanaan proses vaksinasi yang semakin rancak, kita telah dapat melihat sinar yang lebih terang di hujung terowong," kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengumumkan PPN, hari ini.

Menurutnya, strategi pelan itu disusun merangkumi empat fasa dan akan membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat, manakala setiap fasa pemulihan berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

"Indikator Pertama ialah keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian; Indikator Kedua ialah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Indikator Ketiganya ialah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

"Pendekatan secara berperingkat ini bermula dengan Fasa Pertama iaitu pelaksanaan PKP Menyeluruh yang sedang dilaksanakan sekarang dalam keadaan bilangan kes Covid-19 adalah tinggi, sistem kesihatan awam di tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi yang masih rendah.

"Kerajaan akan menimbang peralihan daripada Fasa Pertama kepada Fasa Kedua PKP setelah purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10 peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin," katanya.

Muhyiddin berkata, Fasa Kedua juga adalah kesinambungan daripada Fasa Pertama dengan aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat, termasuk aktiviti ekonomi dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80% di premis.

"Pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor yang tersenarai dibenarkan beroperasi, manakala yang tidak tersenarai masih ditutup. Senarai positif daripada Fasa Pertama akan juga diperluaskan semasa Fasa 2 dengan menambahkan beberapa sektor.

"Namun, aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan," katanya yang menjelaskan Fasa Ketiga akan membabitkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif, yang mana semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan Covid-19.

Jelasnya, negara boleh beralih kepada Fasa Ketiga sekiranya berjaya mencapai nilai ambang iaitu, purata kes harian Covid-19 menurun ke paras bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi dan 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

"Nilai ambang ini dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos ini. Semasa Fasa Ketiga ini, semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif, iaitu aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan Covid-19 atau melibatkan keramaian.

"Sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80% seperti Fasa Kedua dan aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat," katanya.

Beliau berkata, peralihan ke Fasa Keempat pula sekiranya negara berjaya mencapai nilai ambang berikut, iaitu purata kes harian Covid-19 menurun ke paras bawah 500 kes, sistem kesihatan awam berada di paras selamat termasuk kadar penggunaan katil di ICU di paras mencukupi dan 60 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Katanya, berdasarkan unjuran pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, peralihan itu dijangka dapat dilaksanakan seawal akhir Oktober, dengan Fasa Keempat adalah fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara.

"Fasa ini kita seboleh mungkin dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian. Semua sektor ekonomi akan dibuka, lebih banyak aktiviti sosial akan dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada SOP yang ketat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 6:18 PM