RAHMAD. FOTO Amir Mamat
RAHMAD. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat

Melaka: Kerajaan negeri menjangkakan Melaka akan beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang akhir bulan ini.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia berdasarkan kepada keputusan terbaharu mengenai indikator nilai ambang peralihan fasa PPN dibuat menerusi Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), semalam.

Beliau berkata, nilai ambang baharu itu termasuklah kes bagi kategori tiga, empat dan lima yang dimasukkan ke hospital mestilah berada di bawah 12.2 kes berbanding 100,000 jumlah penduduk.

"Bagi kes dalam tempoh seminggu di negeri ini sehingga semalam, Melaka sebenarnya layak untuk beralih ke Fasa 2 apabila mencatat sejumlah 6.1 kes.

"Namun jika dilihat kepada aspek vaksinasi pula, kita belum lagi boleh ke fasa berkenaan apabila jumlah penerima vaksin bagi dos kedua masih rendah.

"Sehingga semalam, penerima dos pertama di Melaka adalah 62.6 peratus manakala dos kedua pula hanya mencatatkan sebanyak 35.3 peratus, sekali gus menyekat kita untuk beralih ke Fasa 2 PPN.

"Bagaimanapun, saya yakin dan memberi jaminan baki 15 peratus lagi untuk penerima dos kedua akan dapat dicapai selewat-lewatnya hujung bulan ini," katanya selepas program gotong-royong menuai ubi untuk agihan kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Molek, di Bukit Nibong, di sini, hari ini.

Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, daripada 360 kes positif Covid-19 di Melaka semalam, seramai 11 individu bersamaan 3.1 peratus berada di kategori tiga diikuti kategori lima (dua kes bersamaan 0.2 peratus) manakala tiada kes bagi kategori empat.

"Maknanya, Insya-Allah kita akan melepasi indikator nilai ambang untuk fasa kedua seperti ditetapkan MKN," katanya.

Kelmarin, media melaporkan bilangan kes kemasukan hospital baharu yang bergejala digunakan sebagai satu daripada indikator peralihan fasa PPN.

Menteri Penyelaras, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan nasihat pakar dan pengalaman antarabangsa serta domestik dan dibuat berdasarkan penelitian bahawa risiko penularan Covid-19 menurun seiring dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk dewasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 2:45 PM