Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Jumlah vaksinasi lengkap dos kedua vaksin Covid-19 sudah melepasi nilai ambang 10 peratus populasi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini menunjukkan prestasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di landasan yang betul.

Menurutnya, jumlah lengkap vaksinasi itu juga membolehkan negara beralih fasa kedua dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Perkembangan ini memberi gambaran negara berada di landasan yang betul dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

"Indikator ini sejajar dengan perancangan PPN yang menjangkakan kadar vaksinasi akan mencapai 10 peratus populasi pada akhir bulan Julai ini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

JURURAWAT terlatih sedang menyiapkan picagari yang berisi cecair vaksin sebelum disuntik kepada orang awam yang telah mendapat temujanji bagi suntikan dos kedua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Lapangan Terbang Antarabangsa, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad.
JURURAWAT terlatih sedang menyiapkan picagari yang berisi cecair vaksin sebelum disuntik kepada orang awam yang telah mendapat temujanji bagi suntikan dos kedua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Lapangan Terbang Antarabangsa, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad.

Beliau berkata, jika perkembangan positif ini berterusan, seluruh negara mampu beralih ke Fasa 2 pada awal Ogos ini.

Katanya, ia bagi membolehkan negeri yang masih berada dalam fasa satu bersama negeri yang kini sudah berada di fasa kedua seperti Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, pasukan khas operasi pematuhan menjalankan pemeriksaan ke atas 2,257 kilang, premis perniagaan (15,256), tapak pembinaan (1,148) dan asrama penempatan pekerja (286), semalam.

"Daripada jumlah itu, 68 premis meliputi kilang (23), premis perniagaan (43) dan tapak pembinaan (dua) diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 7:12 PM