WAN Rosdy (tiga kanan) meninjau Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja Pahang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SMK Bukit Rangin, Kuantan. FOTO Asrol Awang
WAN Rosdy (tiga kanan) meninjau Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja Pahang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SMK Bukit Rangin, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang

Kuantan: Kadar penggunaan katil tinggi di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital di negeri ini menjadi penghalang untuk Pahang beralih dari Fasa Dua ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau sudah memaklumkan permohonan peralihan fasa kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, ini kerana Pahang sudah memenuhi semua kriteria yang ditetapkan kecuali kadar penggunaan katil yang tinggi.

"Saya katakan bahawa mereka yang kena jangkitan Covid-19 berada dalam ICU memerlukan jangka masa lama untuk pulih iaitu kira-kira dua minggu.

"Pada masa sama, mereka yang di luar mahu meneruskan kehidupan dan daripada segi kadar vaksinasi, kita sudah memenuhi kriteria dan kadar kebolehjangkitan pula bawah pada 1.0.

"Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) diharap memberi pertimbangan khas untuk membolehkan Pahang beralih ke Fasa Tiga," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus dan Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman.

Katanya, berikutan itu pihaknya mahu rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan fizikal dan menjaga kebersihan kerana pandemik Covid-9 belum berakhir.

Mengulas jumlah pemberian vaksin di Pahang, Wan Rosdy berkata, setakat ini, seramai 985,011 orang atau 83.8 peratus sudah menerima suntikan dos pertama, manakala 713,000 individu atau 61 peratus sudah lengkap dos kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 2:42 PM