NANAS MD2 mengambil masa 14 bulan untuk matang.
NANAS MD2 mengambil masa 14 bulan untuk matang.
Hafiz Ithnin


Nanas MD2 adalah salah satu nanas yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan pengusaha kerana ia bukan sahaja mendapat permintaan pasaran tempatan, malah eksport.

Mempunyai rasa manis dan tidak lidas (rasa pedih atau gatal pada lidah) menjadikannya antara buah-buah tempatan yang berkualiti tinggi serta selain salah satu menjadi sumber kekayaan baharu negara dalam sektor pertanian.

Bagi pengusaha buah tropika itu, Mohd Mansor Abdullah, 39, yang mula aktif menjalankan tanaman MD2 pada 2019 mengakui nanas MD2 mempunyai permintaan yang tinggi dalam kalangan pengusaha tanaman buah-buahan tempatan.

Jelasnya, penjagaan nanas MD2 juga tidak sukar kerana ia tidak memerlukan siraman air yang banyak dan hanya perlu memastikan sistem perparitan yang baik.

"Saya sebenarnya mula menceburi bidang pertanian ini pada 2009 dengan menjadikan tanaman secara fertigasi secara pilihan. Namun pada 2014, disebabkan harga jualan yang menurun mendadak, perniagaan saya hampir gulung tikar.

"Kemudian saya mula terfikir untuk menukar bidang kepada perniagaan pengurusan ladang, tetapi apabila diperkenalkan dengan nanas MD2 pada penghujung 2018 menjadikan saya berubah fikiran dan fokus untuk melakukannya," katanya.

TANAMAN nanas MD2 yang diusahakan Mohd Mansor secara komersial.
TANAMAN nanas MD2 yang diusahakan Mohd Mansor secara komersial.

Mohd Mansor berkata, dia menyertai program Lembaga Nanas Malaysia yang mendapat geran 200,000 biji anak benih secara berperingkat untuk diusahakan.

Katanya, menerusi program itu dia terpilih untuk mengusahakan secara komersial dengan perlu mempunyai enam hektar (15 ekar) tanah bagi melaksanakan projek berkenaan.

"Terdahulu, tanah seluas dua hektar (lima ekar) yang diusahakan untuk tanaman fertigasi sudah diubah bagi penanaman durian dan saya mendapatkan modal baharu untuk melaksanakan projek ini yang memerlukan RM200,000.

"Tanah persendirian dimiliki saya jual dan jadikannya sebagai modal perniagaan kerana menerusi penyertaan kursus serta menimba pengalaman, saya dapati nanas MD2 adalah satu perusahaan pertanian yang mempunyai masa depan yang baik," katanya.

Jelasnya, nanas MD2 mempunyai tempoh matang agak lama iaitu sekitar 14 bulan dan dalam tempoh itu, dia perlu bijak melaksanakan tanaman secara berfasa.

PEKERJA melakukan kerja membersihkan rumput.
PEKERJA melakukan kerja membersihkan rumput.

Selain itu, Mohd Mansor juga tidak hanya fokus kepada penjualan buah semata-mata sebaliknya menjadikan sulur nanas MD2 sebagai salah satu cabang perniagaan pertanian.

"Kini saya di penghujung fasa pusingan pertama dan sudah menuai antara 100,000 hingga 150,000 sulur nanas MD2 untuk dipasarkan di sekitar Kelantan. Selain dalam proses pemulangan semula kepada Lembaga Nanas Malaysia untuk diedarkan kepada petani setempat," katanya.

Jelasnya, cabaran dalam mengusahakan tanaman itu adalah hujan kerana nanas MD2 sensitif dengan kadar air yang banyak.

"Saya pernah rugi sebanyak 50,000 tanaman pada tahun lalu kerana kesilapan dalam menguruskan sistem perparitan. Apabila hujan, takungan air di batas menyebabkan ia rosak.

"Ketika itu, hanya tinggal sekitar tiga bulan untuk saya menuai hasilnya, tetapi disebabkan kesilapan berkenaan, 50,000 tanaman saya busuk begitu sahaja," katanya.

NANAS MD2 dipasang jaring hitam untuk mengelakkan terkena sinaran matahari yang terik.
NANAS MD2 dipasang jaring hitam untuk mengelakkan terkena sinaran matahari yang terik.

Selain itu katanya, serangga dan haiwan perosak juga antara cabaran terutama ketika tanaman itu sudah menghampiri tempoh matang.

"Tidak sekadar itu, nanas MD2 juga terdedah dengan penyakit bakteria heart rot (BHR) yang menyerang pokok kebiasaannya pada usia enam hingga sembilan bulan dan pada usia pokok antara lapan hingga 11 bulan paling tinggi.

"Walaupun dalam tanaman saya jarang berlaku, tetapi kita sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga supaya ia tidak menjadikan tanaman rosak teruk akibat serangan BHR," katanya.

TANAMAN nanas MD2 yang diusahakan dengan kapasiti yang luas.
TANAMAN nanas MD2 yang diusahakan dengan kapasiti yang luas.

Pada masa depan, Mansor bercadang untuk mempunyai pensijilan pengesahan benih tanaman (SPBT) nanas MD2 bagi memberi lebih keyakinan kepada pembeli.

Bercerita mengenai harga, katanya, buah nanas MD2 yang dijualnya secara borong sebelum ini mampu mencecah RM7 sebiji.

"Apabila berlaku pandemik Covid-19, saya menjualnya secara runcit dan terus kepada pembeli dengan RM12 sebiji.

"Manakala, sulur nanas dijual pada RM1.50 hingga RM2.50 bergantung kepada saiznya," katanya.

MOHD Mansor bersama tanaman nanas MD2.
MOHD Mansor bersama tanaman nanas MD2.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 6:20 AM