MANSOR (kiri), Mohd Noh, Shafik dan Azhar menunjukkan manggis yang akan dieksport ke luar negara.
MANSOR (kiri), Mohd Noh, Shafik dan Azhar menunjukkan manggis yang akan dieksport ke luar negara.
Mohd Rafi Mamat

Selepas durian Musang King dan nangka madu kini tiba masanya manggis atau nama saintifiknya Garcinia mangostana menembusi pasaran China dan Eropah secara berterusan sepanjang tahun.

Permintaan dan harga tinggi terhadap buah itu mendorong aktiviti eksport dilakukan dengan bekalan diperoleh daripada 40 pekebun di Bentong, Pahang yang mengusahakan ladang seluas 200 hektar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif berkata, Bentong kini menjadi pengeluar utama manggis untuk pasaran luar negara.

Beliau berkata, Kampung Telemong yang turut terkenal dengan pelbagai jenis durian dan buah-buahan tempatan kini menjadi pengeluar utama diikuti beberapa kampung lain.

“Musim pengeluaran buah berlaku dua kali setahun di Bentong memberikan lebih peluang kepada aktiviti eksport secara berterusan dan mampu memenuhi permintaan manggis yang kini terus bertambah.

“Kualiti manggis yang tinggi dan bebas daripada bahan kimia menjadikan produk berkenaan diterima baik masyarakat China. Contohnya tempahan 500 tan diterima menjelang sambutan Tahun Baru Cina akan datang.

“Harga tinggi antara RM200 hingga RM400 sekilogram (kg) memberikan lebih keuntungan kepada pengeksport tempatan memasarkan manggis ke China dan Eropah secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Pelancaran Pelepasan Manggis ke Eropah dan China anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di pekarangan Dewan Orang Ramai Telemong, Bentong, baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Bentong, Datuk Azhar Arshad, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Mansor Omar dan Pemangku Pengarah FAMA Pahang, Rosli Aw Da.

Pada majlis itu, turut diadakan memorandum perjanjian persefahaman (MoU) antara syarikat pengeksport iaitu Do Right Service (DRS) dengan pemborong manggis yang bertanggungjawab membekalkan buah itu secara berterusan.

Shafik Fauzan berkata, permintaan terhadap manggis di pasaran China bermula sejak 2014 dan peningkatan jumlah pasaran berlaku dua tahun lalu hingga menyebabkan pengeksport tidak dapat memenuhi permintaan.

Katanya, pasaran di Eropah bermula lima tahun lalu dan terus bertambah setiap tahun selain difahamkan kini berlaku saingan dengan beberapa pengeksport negara jiran yang menerima bekalan buah dari negara ini.

“Disebabkan permintaan tinggi terhadap manggis di pasaran Eropah dan China, saya berharap lebih ramai pekebun mengusahakan tanaman itu seperti nangka madu dan durian.

“Jabatan pertanian akan membantu petani yang bercadang mengusahakan tanaman manggis secara komersial menggunakan benih berkualiti tinggi sama seperti yang ada di Kampung Telemong,” katanya yang mendapati Maran, Jerantut dan Raub turut mengeluarkan manggis setiap tahun.

Sementara itu, bagi Mohd Noh Sani yang mengeksport manggis ke China dan Eropah sejak empat tahun lalu berkata, syarikatnya hanya mampu mengeksport 25,000 hingga 30,000 tan saja manggis semusim.

Katanya, bekalan buah tidak mencukupi menjadi faktor utama dia tidak dapat memenuhi permintaan peniaga di China dan Eropah yang lebih berminat dengan produk negara ini berbanding negara lain.

“Bekalan manggis banyak diterima daripada pekebun di Kampung Telemong dan beberapa kampung lain di daerah ini. Saingan dengan pemborong negara jiran menyebabkan bekalan tidak mencukupi.

“Harga belian ladang kini mencecah RM12 sekilogram dan bagi pasaran tempatan ialah RM5 hingga RM8 sekilogram, tidak mustahil harga akan meningkat selepas ini,” katanya yang mendapat bantuan FAMA.

Dia yang mempunyai pusat memproses manggis di Kajang, Selangor, berkata, buah yang dieksport dibahagikan kepada beberapa gred dan untuk penghantaran buah disimpan dalam kotak khas.

Mohd Noh yang juga bekas kakitangan FAMA berkata, bagi menjaga kualiti buah penghantaran ke Eropah dan China menggunakan kapal terbang dan setakat ini pemborong di luar negara berpuas hati dengan apa yang diterima.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 12:18 PM