PEGAWAI penguatkuasa MPS melakukan pemeriksaan pematuhan SOP PKP di kawasan pentadbirannya bermula 1 Jun hingga hari ini.
PEGAWAI penguatkuasa MPS melakukan pemeriksaan pematuhan SOP PKP di kawasan pentadbirannya bermula 1 Jun hingga hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lesen perniagaan kilang plastik di Sungai Buloh, Selangor ditarik dan premis itu diarah tutup serta-merta, hari ini.

Tindakan itu diambil selepas kilang berkenaan didapati beroperasi tanpa kebenaran ketika tempoh Fasa Pertama Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara ketika ini.

Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Mohamad Zin Masoad berkata, pemeriksaan dibuat mendapati kilang itu tidak memohon kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Pemeriksaan dibuat dalam Operasi Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini, yang mana didapati kilang itu bukan sektor perlu.

"Susulan itu, kompaun RM10,000 juga dikenakan di bawah Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zin berkata, sejak pelaksanaan perintah kawalan 1 Jun lalu, sebanyak 1,683 premis dan 855 penjaja dipantau dan 676 premis diperiksa dengan 90 notis dan 68 kompaun dikeluarkan.

Katanya, 40 premis diarahkan tutup dan 296 amaran lisan diberikan kepada peniaga supaya mematuhi SOP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 9:34 PM