PEMERIKSAAN dan pemantauan dilakukan MPS bersama PDRM di sebuah kilang bahan binaan. FOTO Ihsan MPS
PEMERIKSAAN dan pemantauan dilakukan MPS bersama PDRM di sebuah kilang bahan binaan. FOTO Ihsan MPS
Nurul Hidayah Bahaudin


Sungai Buloh: Sebuah kilang bahan binaan di Kuang, di sini, ditutup dalam serbuan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP), hari ini, selepas didapati beroperasi tanpa lesen.

Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Mohamad Zin Masaod berkata, pihaknya menjalankan operasi itu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi berkenaan pada 8.30 pagi hingga 2.30 petang tadi.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami mendapati kilang berkenaan tidak mempunyai lesen sah dan diarahkan tutup serta-merta.

"Selain itu, seramai 10 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang didapati sudah tamat tempoh permit kerja ditahan pihak PDRM dalam operasi berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zin berkata, operasi itu turut disertai kakitangan Pejabat Daerah Dan Tanah Gombak, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

"Dalam operasi itu juga, kami turut membuat pemeriksaan ke atas tiga asrama pekerja di sekitar Villa Putra dan Kuang di Sungai Buloh.

"Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati ketiga-tiga asrama pekerja itu mematuhi SOP PKP yang ditetapkan," katanya.

KILANG bahan binaan yang ditutup dalam serbuan operasi pematuhan SOP selepas didapati beroperasi tanpa lesen. FOTO Ihsan MPS
KILANG bahan binaan yang ditutup dalam serbuan operasi pematuhan SOP selepas didapati beroperasi tanpa lesen. FOTO Ihsan MPS

Beliau berkata, pihaknya juga menjalankan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari di seluruh kawasan pentadbiran perbandaran Selayang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan bermula 5 Julai lalu hingga hari ini.

"Pemeriksaan dan pemantauan itu dilakukan di pasar awam, kilang perindustrian, bengkel kenderaan, kawasan awam, premis perniagaan, penjaja serta badan pengurusan bersama (JMB/MC).

"Sepanjang tempoh itu, sebanyak 536 premis dan tiga penjaja dilawat selain 132 premis diperiksa. MPS turut mengeluarkan sebanyak 34 notis, 12 kompaun dan 23 premis diarahkan tutup.

"Sebanyak 57 amaran lisan juga diberikan kepada peniaga supaya mematuhi SOP PKPD yang ditetapkan," katanya.

Sebarang pertanyaan atau aduan, orang ramai boleh menghubungi talian 03-61265800 atau melayari laman sesawang www.mps.gov.my.

Selain itu, orang ramai juga boleh merujuk laman sosial MPS untuk sebarang pengumuman terkini berkaitan MPS.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 9:38 PM