ANTARA individu yang dikenakan kompaun dalam serbuan membabitkan parti sambutan hari jadi. FOTO Ihsan Polis
ANTARA individu yang dikenakan kompaun dalam serbuan membabitkan parti sambutan hari jadi. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tindakan seorang wanita menjemput kenalan untuk meraikan sambutan parti hari jadinya di sebuah unit kondominium di Jalan Sultan Ismail, di sini, mengundang padah apabila mereka dikenakan kompaun berjumlah RM64,000, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya membuat serbuan di lokasi terbabit kira-kira 1 pagi.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, pihaknya mendapati terdapat 16 individu terdiri daripada sembilan lelaki dan tujuh wanita berusia antara 16 hingga 38 tahun sedang berhibur dengan tidak mengamalkan penjarakan fizikal di dalam rumah berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati tiada sebarang dadah ditemui di rumah terbabit.

"Namun, hasil ujian saringan urin dilakukan mendapati tiga lelaki didapati positif dadah jenis methaphetamin dan ketamin," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, siasatan awal dilakukan mendapati kehadiran semua individu terbabit di unit kondominium itu adalah untuk menyambut hari jadi salah seorang daripada mereka.

Katanya, difahamkan unit kondominium berkenaan disewa pada harga lebih RM300 oleh seorang wanita yang bekerja kilang berusia 26 tahun untuk menyambut hari jadinya.

"Susulan itu, kami mengeluarkan kompaun berjumlah RM4,000 setiap seorang terhadap 16 individu berkenaan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tindakan itu diambil mengikut Peraturan 18 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (No 4) 2021. Jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan berjumlah RM64,000," katanya.

Katanya, selain itu, kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan membabitkan tiga lelaki positif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 5:00 PM