Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Sebuah kilang percetakan di Taman Perusahaan Sungai Lokan, di sini yang beroperasi melebihi had pekerja ditetapkan dan gagal memastikan kakitangannya mendaftar kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera dikompaun RM20,000.

Premis itu diambil tindakan menerusi operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan yang diadakan pihak berkuasa kira-kira 9 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemeriksaan mendapati kilang itu beroperasi dengan melebihi 60 peratus had pekerja di premis.

"Pekerja juga tidak mendaftar masuk dalam MySejahtera maka, kompaun RM20,000 dikeluarkan kepada wakil kilang iaitu lelaki tempatan berusia 60 tahun.

"Tindakan mengikut Peraturan 16(2) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, kilang itu mempunyai kebenaran beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh (SPP) daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Anggota polis melakukan pemeriksaan bilangan pekerja di Taman Perusahaan Sungai Lokan. FOTO DANIAL SAAD
Anggota polis melakukan pemeriksaan bilangan pekerja di Taman Perusahaan Sungai Lokan. FOTO DANIAL SAAD

"Walaupun dibenarkan beroperasi, ini tidak bermakna pemilik kilang boleh melakukan apa sahaja dengan sesuka hati tanpa menghiraukan SOP, tambahan pula kluster tempat kerja dan kilang masih merekodkan kes Covid-19 yang tinggi.

"Polis bersama agensi lain dalam daerah ini akan sentiasa berada di lapangan bagi memastikan semua arahan dipatuhi dan tindakan tegas diambil bagi yang melanggar SOP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 2:39 PM