Polis melakukan pemeriksaan di sebuah kilang plastik di Taman Medan, Petaling Jaya kerana beroperasi lebih masa, semalam. Foto Ihsna PDRM
Polis melakukan pemeriksaan di sebuah kilang plastik di Taman Medan, Petaling Jaya kerana beroperasi lebih masa, semalam. Foto Ihsna PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Tindakan pihak pengurusan sebuah kilang pembuatan plastik di Taman Medan di sini, beroperasi lebih masa mengundang padah apabila dikenakan kompaun RM10,000, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya membuat pemeriksaan di kilang terbabit pada 10.45 malam.

"Pemeriksaan di kilang berkenaan dilakukan selepas premis terbabit didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan beroperasi melebihi masa yang ditetapkan.

"Susulan itu, kami mengeluarkan satu kompaun terhadap seorang wanita berusia 41 tahun yang juga penyelia kilang berkenaan.

"Tindakan kompaun itu dikenakan mengikut Peraturan 17 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, tujuh wanita dan seorang lelaki berusia antara 18 hingga 69 tahun yang juga pekerja kilang terbabit yang berada di premis berkenaan turut dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang.

"Tindakan kompaun terhadap pekerja kilang berkenaan pula diambil mengikut Peraturan 17 (1) peraturan yang sama.

"Semakan dilakukan mendapati kilang berkenaan menggunakan surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum 1 Jun lalu.

"Kami mengingatkan pihak pengurusan semua sektor perindustrian yang dibenarkan beroperasi untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik kilang yang ingkar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 12:23 PM