Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Tujuh kompaun berjumlah RM90,000 dikeluarkan terhadap beberapa kilang makanan selepas didapati tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dalam serbuan Operasi Patuh Bersepadu di sekitar daerah ini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas 21 premis dalam operasi yang turut disertai Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) jam 10 pagi hari ini.

"Hasil serbuan, pihak polis mengeluarkan tiga kompaun terhadap dua majikan serta seorang pekerja di kilang makanan kerana tidak patuh SOP, manakala tiga kompaun lagi dikeluarkan KKM terhadap majikan kerana tidak mengisytiharkan tahap kesihatan pekerja serta satu kompaun dikeluarkan MBPJ.

"Antara kesalahan yang dikenal pasti dilakukan adalah tidak mengimbas aplikasi MySejahtera atau catatan buku rekod kehadiran, tidak mengimbas suhu di premis, premis beroperasi bukan sektor dibenarkan, premis tidak mempunyai lesen perniagaan serta tidak menjalankan saringan bergejala kesihatan kepada pekerja," katanya ketika ditemui di lokasi operasi, di sini, hari ini.

KAKITANGAN Kementerian Kesihatan mengeluarkan kompaun kepada sebuah kilang membuat makanan dalam operasi pematuhan SOP Covid-19. FOTO Fathil Asri.
KAKITANGAN Kementerian Kesihatan mengeluarkan kompaun kepada sebuah kilang membuat makanan dalam operasi pematuhan SOP Covid-19. FOTO Fathil Asri.

Mohamad Fakhrudin berkata, sebuah kilang makanan diarahkan tutup selepas pemeriksaan dilakukan mendapati premis berkenaan dalam keadaan kotor selain terdapat najis tikus.

"Selain itu, sebuah pusat rawatan kecantikan turut ditutup selepas didapati tidak mempunyai kebenaran operasi daripada KKM.

"Kami akan melakukan siasatan bagi mengetahui sudah berapa lama pusat rawatan kecantikan berkenaan beroperasi sepanjang tempoh PKPD.

"Pusat itu bukan perkhidmatan penting dan sekiranya premis itu mahu beroperasi, pemilik kena memohon kebenaran daripada KKM," katanya.

ANGGOTA polis mengarahkan sebuah klinik kecantikan ditutup dalam operasi pematuhan SOP Covid-19. FOTO Fathil Asri.
ANGGOTA polis mengarahkan sebuah klinik kecantikan ditutup dalam operasi pematuhan SOP Covid-19. FOTO Fathil Asri.

Beliau berkata, pemilik premis serta majikan perlu memahami SOP ditetapkan pihak berkuasa dan mematuhi peraturan berkenaan sepanjang tempoh PKPD.

"Pelaksanaan PKPD di daerah ini sudah hampir dua minggu, manakala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula sudah kita jalani lebih dua tahun.

"Justeru itu, pemilik premis serta majikan perlu memahami SOP semasa arahan berkenaan sentiasa dipatuhi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 5:08 PM