Sri Ayu Kartika Amri


Selayang: "Kami bersyukur, akhirnya dapat juga divaksin dan tidak menyangka diberi peluang ini kerana sudah menunggu lama," kata pesara tentera Ahmad Hashin, 46.

Dia yang ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sri Siantan, Sungai Tua, di sini, adalah antara 1,500 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia dan Sungai Tua yang ditawarkan menerima vaksin, hari ini.

Pemberian vaksin itu adalah di bawah program Vaksin Selangor dengan kerjasama Selgate Group, syarikat milik kerajaan negeri (GLC).

Ahmad berkata, usaha yang dilakukan kerajaan Selangor itu perlu dipuji kerana ia memberi peluang kepada masyarakat terutama rakyat di negeri itu memperoleh vaksin dengan segera.

"Saya dan isteri, Nolida Hasan dipanggil untuk hadir dan memandangkan isteri mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan asma, jadi apabila akhirnya diberi peluang, kami sangat menghargainya.

"Kami diberi vaksin Sinovac dan pada 21 Julai ini kami akan menerima suntikan dos kedua," katanya.

Petani Mohamad Adib Sariyon, 38, berkata, dia sudah mendaftar mendapatkan vaksin melalui MySejahtera tetapi masih tidak mendapat tarikh temujanji.

AHMAD Hashin. FOTO Eizairi Shamsudin
AHMAD Hashin. FOTO Eizairi Shamsudin

"Saya tidak menyangka terpilih menerima vaksin melalui program Vaksin Selangor dan hari ini saya melaksanakan suntikan pertama.

"Cara ini lebih cepat tanpa perlu menunggu lama dan diharap inisiatif ini dapat diteruskan lagi di kawasan Selangor," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan serta Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud dilihat hadir ke PPV Dewan Sri Siantan bagi melihat perkembangan program pemberian vaksin di kawasan itu.

Beliau menerusi kenyataan dikeluarkan berkata, dengan 73 PPV di seluruh Selangor ketika ini, kapasiti vaksinasi harian keseluruhan PPV di negeri ini adalah 87,616 orang.

Namun, katanya, dengan jumlah bekalan sedia ada, kadar suntikan harian saat ini adalah untuk 53,037 orang.

"Insya-Allah, apabila digandingkan dengan program Vaksin Selangor yang akan diumumkan Menteri Besar Selangor nanti, kita akan mampu mencapai sasaran CITF Kebangsaan yang dikatakan oleh Menteri Penyelaras PICK (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) Khairy Jamaluddin dengan masing-masing 135,000 dan 165,000 kadar vaksinasi menjelang Julai dan Ogos," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 7:39 PM