Ahmad Hasbi

Kuala Pilah: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan mengenal pasti 142 guru di negeri ini yang belum bersedia untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Md Fiah Md Jamin berkata, jumlah itu hanya membabitkan 1.08 peratus berbanding jumlah keseluruhan guru berkhidmat di negeri ini.

"Kami mempunyai kira-kira 17,459 guru di seluruh Negeri Sembilan. Hanya 142 yang belum bersedia untuk mengambil vaksin dengan memberikan alasan peribadi seperti mempunyai penyakit atau mengalami alahan.

"Sebelum ini kami ada membuat perjumpaan secara dalam talian dan secara bersemuka dengan guru terbabit. Belum sampai untuk berjumpa dengan pihak atasan," katanya ketika sidang media sejurus membuat tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Dato Bahaman Shamsudin, di sini, tadi.

MD Fiah (kiri) membuat tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Dato Bahaman Shamsudin. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
MD Fiah (kiri) membuat tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Dato Bahaman Shamsudin. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Beliau berkata, pihaknya yakin semangat pendidik yang ada dalam diri guru akan melembutkan hati mereka untuk menerima suntikan vaksin pada masa akan datang.

Mengulas mengenai ibu bapa yang mungkin tidak membenarkan anak mereka untuk kembali ke sekolah, Md Fiah berkata, penjaga atau ibu bapa diminta untuk mengemukakan alasan dan bukti.

"Kalau mereka (ibu bapa) masih tidak yakin untuk hantar anak ke sekolah, kami masih ada kelonggaran.

"Maknanya jika betul-betul tidak yakin, boleh kemukakan surat alasan dan kami tiada apa-apa tindakan. Apabila sudah yakin, boleh hantar anak ke sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 3:04 PM