Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my


Tanjong Karang: Kerajaan negeri Selangor akan menambah kapasiti sebanyak 130,000 dos suntikan vaksin sehari mulai 1 Julai hadapan berbanding 40,000 suntikan sehari sebelum ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu dipersetujui beliau dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, penambahan dos itu susulan keputusan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) untuk membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) termasuk PPV berskala mega.

"Saya usahakan usahakan supaya Kerajaan Negeri meningkatkan kapasiti penggunaan vaksin. Oleh itu, kita buka PPV berskala mega kerana kita nampak usaha (pemberian suntikan vaksin) di negeri ini agak perlahan.

"Selain PPV berskala mega, kita juga akan membuka PPV tambahan seperti di Tanjong Karang dan PPV sedia ada.

"Contohnya di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC)..dahulu hanya satu dewan sahaja dibuka, sekarang kita buka dewan untuk memudahkan urusan pemberian vaksin," katanya selepas meninjau pembukaan PPV di Institut Pengurusan Peladang (IPP), di sini, tadi.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji dan Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Selangor, Dr Noor Rafizah Amina Aziz.

Dalam pada itu, Khairy turut menolak dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud yang memaklumkan Selangor tidak menerima vaksin dan tidak mempunyai bekalan yang mencukupi.

KHAIRY Jamaluddin (tengah) dan Tan Sri Noh Omar (dua dari kiri) beramah mesra bersama penerima vaksin sempena PPV di Institut Pengurusan Peladang (IPP), hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
KHAIRY Jamaluddin (tengah) dan Tan Sri Noh Omar (dua dari kiri) beramah mesra bersama penerima vaksin sempena PPV di Institut Pengurusan Peladang (IPP), hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

"Tuduhan vaksin tidak dihantar ke Selangor adalah tidak benar seperti yang disebut oleh beliau (Dr Siti Mariah). Saya sendiri tak pasti dari mana beliau dapat angka itu.

"Kita cadang nak hantar lebih banyak vaksin ke Selangor, tetapi kena tengok kapasiti mereka.

"Dalam pertemuan saya bersama Amirudin, Kerajaan Negeri sendiri mengatakan kapasiti di Selangor pada Jun adalah 40,000 suntikan setiap hari," katanya.

Menurutnya, sejak semalam Selangor menerima 1,367,306 juta dos vaksin jenis Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

"Ini adalah data yang dibentangkan pada hari ini. Kita mahu rakyat tahu vaksin telah dihantar ke Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 3:59 PM