Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kerajaan berhasrat menjadikan lebih banyak masjid di seluruh negara sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat sekali gus mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pembukaan PPV di masjid difokuskan kepada lokasi ramai penduduk Melayu terutama di kawasan pedalaman.

Menurutnya, masjid amat dekat dengan umat Islam dan pembukaan PPV di rumah ibadat ini dapat menyakinkan segelintir masyarakat Melayu yang terperdaya dengan dakyah negatif berkaitan vaksin.

"Sebagai permulaan, Masjid At-Taqwa Durian Burung di Kuala Terengganu akan menjadi projek perintis sebelum diperluaskan ke masjid-masjid lain di daerah lain.

"Kita merancang membuka sekurang-kurangnya satu PPV masjid di setiap daerah pada hujung minggu dengan sasaran 16,000 suntikan dos vaksin sebulan.

"Mungkin kalau daerah yang lebih besar dan mempunyai kepadatan penduduk tinggi seperti Kuala Terengganu, kita boleh buka dua PPV di masjid, namun bergantung kepada bekalan vaksin yang diterima," katanya.

Abd Razak Rahman, 62  menerima suntikan vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) Masjid At-Taqwa Durian Burung hari ini.  FOTO GHAZALI KORI
Abd Razak Rahman, 62 menerima suntikan vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) Masjid At-Taqwa Durian Burung hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata demikian ketika ditemui ketika meninjau PPV di Masjid At-Taqwa Durian Burung, di sini, hari ini.

Menurutnya, kewujudan PPV di masjid dapat membantu meningkatkan kapasiti pengagihan vaksin demi mencapai sasaran 80 peratus penduduk mendapat suntikan dalam PICK menjelang hujung tahun ini.

Katanya, PPV masjid di Kelantan yang dibuka sebelum ini bersifat sementara, namun pembukaan PPV masjid di Terengganu lebih tersusun dan mempunyai prosedur operasi standard (SOP).

"PPV masjid di Kelantan dikendalikan jabatan kesihatan negeri, manakala PPV masjid di Terengganu dikendalikan sepenuhnya oleh Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) dengan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memberi bantuan dari teknikal dan pematuhan SOP.

"Mereka tidak dibayar atau menerima elaun harian dan melakukannya secara sukarela untuk membantu negara demi mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 3:52 PM