Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kerajaan akan membuka lebih banyak Pusat Pengambilan Vaksin (PPV) AstraZeneca di negeri zon merah.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, ini bagi memastikan lebih ramai boleh disuntik secara sukarelawan sekali gus mengawal peningkatan kes di negeri berkenaan.

Menurutnya, perbincangan mengenai pembukaan PPV untuk suntikan AstraZeneca akan dibuat bersama kerajaan negeri dalam masa terdekat.

"Malaysia akan terima lebih satu juta dos vaksin AstraZeneca Mei ini menerusi perjanjian Fasiliti Akses Global Vaksin Covid-19 (Covax).

"Apabila lebih banyak vaksin diterima, kerajaan akan buka untuk lebih ramai sukarelawan disuntik," katanya dalam sidang media selepas melawat hari pertama program suntikan vaksin AstraZeneca secara sukarela di PPV Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Kakitangan perubatan mengambil dos suntikan vaksin Astra Zaneca untuk diberi suntikan kepada orang ramai yang terpilih pada program pendaftaran sukarela untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV, Dewan Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Kakitangan perubatan mengambil dos suntikan vaksin Astra Zaneca untuk diberi suntikan kepada orang ramai yang terpilih pada program pendaftaran sukarela untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV, Dewan Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. FOTO AIZUDDIN SAAD

Sebanyak 268,000 slot suntikan dos pertama AstraZeneca habis ditempah dalam tempoh tiga jam bermula Ahad lalu.

PPV AstraZeneca bermula hari ini dibuka di WTCKL, Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Program suntikan sukarelawa AstraZeneca buat pertama kalinya dikendalikan pasukan perubatan swasta.

Khairy berkata, sebelum ini semua PPV dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau berkata, Malaysia akan hanya mampu meningkatkan jumlah suntikan berdasarkan vaksin yang diterima daripada syarikat pembekal.

Katanya, banyak negara membangun seperti Malaysia sukar mendapatkan bekalan vaksin daripada syarikat pembekal yang dilihat lebih mendahulukan negara maju.

"Komuniti antarabangsa perlu membincangkan isu ini supaya pembekalan vaksin tidak hanya dimonopoli negara tertentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 3:20 PM