Amir Mamat


Jasin: Kerajaan negeri Melaka bercadang untuk mewujudkan pasukan vaksin bergerak ke sekolah dalam usaha mempercepatkan pemberian vaksin kepada kanak-kanak.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan negeri serta Jabatan Pendidikan negeri bagi memantapkan lagi pengurusan dan pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Katanya, usaha pemberian vaksin bergerak itu bagaimanapun bergantung kepada permintaan pihak sekolah kepada Jabatan Pendidikan negeri serta Jabatan Kesihatan negeri.

"Saya faham, mungkin ibu bapa tiada masa untuk membawa anak mereka mendapatkan vaksin disebabkan kekangan kerja, sebab itulah kita bercadang untuk melaksanakan pusat pemberian vaksin bergerak ke sekolah-sekolah bagi memudahkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun itu mendapatkan vaksin.

"Langkah terbabit dijangka mempercepatkan lagi PICKids di Melaka," katanya selepas merasmikan PICKids peringkat negeri di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin, Merlimau, di sini, hari ini.

CHAN Jun Heng, 11, menerima suntikan vaksin pada Program PICKids di Merlimau. FOTO Syafeeq Ahmad
CHAN Jun Heng, 11, menerima suntikan vaksin pada Program PICKids di Merlimau. FOTO Syafeeq Ahmad

Sebagai simbolik perasmian, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau turut melakukan suntikan vaksin kepada anak sulungnya, Muhammad Ziyad, 7.

Sebanyak tujuh PPV menyediakan perkhidmatan PICKids membabitkan PPV Encore, PPV Kipmall dan PPV Melaka Mall bagi daerah Melaka Tengah, diikuti PPV Japerun Lendu dan PPV UITM Alor Gajah (daerah Alor Gajah) manakala PPV Pusat Polis Jasin dan PPV Dewan Datuk Hj Ahmad Ithnin (Jasin).

Mengulas lanjut, beliau berkata, memandangkan cuti persekolahan bermula 20 Februari ini, program pemberian vaksin bergerak itu dijangka dapat dimulakan pada sesi baharu persekolahan, bulan depan.

Katanya, pihak sekolah yang berminat untuk mendapatkan kemudahan PPV bergerak itu boleh berhubung terus dengan Jabatan Pendidikan negeri.

Sementara itu, beliau berkata sehingga kelmarin, 15,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin menerusi aplikasi Mysejahtera dan 1,360 kanak-kanak sudah menerima vaksin pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 11:51 AM