Mahani Ishak dan Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Kadar vaksinasi Covid-19 Malaysia dijangka meningkat lebih ketara mulai Jun ini selari dengan negara menerima lebih banyak bekalan vaksin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, dengan peningkatan kadar vaksinasi itu, beliau yakin komuniti kelompok dapat dicapai menjelang akhir tahun ini.

"Kita akan meningkatkan kadar agihan vaksin dari bulan ke bulan. Sebelum ini, agihan vaksin di seluruh negara setiap hari adalah sekitar 30,000 hingga 40,000 suntikan dos namun, semalam ia mencecah 76,000 suntikan dos sehari dan ia akan terus meningkat," katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, semalam menerusi hantaran di Facebook mendakwa, Malaysia memerlukan tempoh 6.1 tahun lagi bagi mencapai imuniti kelompok berdasarkan kadar vaksinasi terkini dilaksanakan negara ketika ini.

Petugas kesihatan memberikan suntikan vaksin AstraZeneca kepada orang awam di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Petugas kesihatan memberikan suntikan vaksin AstraZeneca kepada orang awam di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Najib juga mendakwa kadar pemberian vaksin Malaysia adalah antara paling perlahan di Asean biarpun sudah bermula sejak tiga bulan lalu.

Sementara itu, Khairy berkata, beliau juga mengesahkan bahawa ada beberapa syarikat tempatan yang berminat untuk mendaftarkan vaksin jenis Moderna di negara ini.

"Kita lepaskan vaksin berkenaan untuk pasaran swasta kerana ia vaksin yang mahal. Selain itu, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga masih pada peringkat kajian data bagi vaksin jenis Sputnik," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan kerajaan Sarawak tidak perlu membeli vaksin tambahan kerana kerajaan akan menghantar keperluan vaksin negeri berkenaan.

"Saya dah maklumkan kepada Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bahawa kerajaan negeri itu tidak perlu membeli vaksin tambahan.

"Ini kerana pihak kerajaan akan menghantar bekalan kepada negeri itu seperti juga negeri lain sebaik bekalan vaksin sampai dan beliau gembira dengan jaminan yang diberikan ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 5:51 PM