Nurul Hidayah Bahaudin


Rompin: Sebanyak 1,700 vaksin Sinovac dibekalkan kepada penduduk di Pulau Tioman dalam program vaksinasi yang pertama kali diadakan di pulau berkenaan bermula esok hingga 3 Julai nanti.

Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Monysyha Atri berkata, seramai 50 pegawai perubatan termasuk tiga pegawai farmasi terbabit dalam program berkenaan.

"Vaksin akan diagihkan ke enam pusat pemberian vaksin (PPV) di pulau ini iaitu di Marina, Kampung Salang, Kampung Juara, Kampung Mukut, Kampung Paya dan Kampung Genting.

"Enam PPV itu beroperasi seawal jam 9 pagi hingga 7 malam sepanjang tempoh enam hari berkenaan," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Penduduk Pulau Tioman, Mohamad Basir Mustafa, 66, berkata, dia teruja untuk menerima vaksin sebaik dimaklumkan orang ramai mengenai program berkenaan.

"Saya sudah bersedia untuk menerima vaksin. Ini (pemberian vaksin) adalah penting untuk mengelakkan penularan Covid-19 di pulau ini.

"Saya difahamkan ada penduduk yang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera dan ada juga pendaftaran dilakukan secara manual (mengisi borang)," katanya.

Seorang lagi penduduk, Ardi Salleh, 57, berkata, dia sudah mengisi borang bagi pemberian vaksin yang diedarkan kepada mereka sebelum ini.

ROZITA (tengah) bersama Danial (kanan) dan Danish selepas menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
ROZITA (tengah) bersama Danial (kanan) dan Danish selepas menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

"Saya ada isi borang untuk program pemberian vaksin pada minggu ini. Saya dimaklumkan supaya datang ke PPV pada 2 Julai ini untuk menerima vaksin.

"Saya gembira nama tersenarai dalam program pemberian vaksin kali ini kerana ia (vaksin) dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19," katanya.

Terdahulu, vaksin berkenaan dibawa ke Pulau Tioman dari Hospital Rompin menggunakan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), hari ini.

Wartawan Harian Metro yang turut serta dalam rombongan itu berlepas dari Subang, Selangor kira-kira jam 8 pagi.

Helikopter itu tiba di Hospital Rompin selepas sejam penerbangan untuk mengambil bekalan vaksin sebelum menyambung perjalanan ke Pulau Tioman yang memakan masa 25 minit.

Penerbangan helikopter itu dikendalikan juruterbang, Badrulhisham Bahar Shah; pembantu juruterbang, Safri Rambli dan Kuarter Udara, Fua'ad Jamaluddin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 4:50 PM