Datuk Seri Hamzah Zainuddin. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Datuk Seri Hamzah Zainuddin. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengenai rayuan dikemukakan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Beliau berkata keputusan bagi permohonan itu akan dibuat dalam tempoh yang diberikan oleh mahkamah iaitu 14 hari.

"Dia (mahkamah) suruh saya buat keputusan, maka saya akan buat keputusan bagi rayuan berkenaan," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Hamzah untuk membuat keputusan berhubung permohonan Pejuang untuk didaftarkan sebagai parti politik.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid dalam penghakimannya berkata, keputusan itu perlu dibuat dalam tempoh 14 hari mulai hari ini.

Keputusan itu selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Pejuang untuk menggesa Hamzah supaya membuat keputusan berhubung rayuan parti itu selepas Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) menolak pendaftarannya.

Semasa prosiding berkenaan, hakim memutuskan bahawa tempoh lima setengah bulan yang berlalu sejak Pejuang mengemukakan rayuannya pada Januari itu sudah melebihi masa sepatutnya untuk membuat keputusan.

Pada 10 Disember tahun lalu, Pejuang mencabar penangguhan RoS dalam membuat keputusan mengenai permohonannya untuk didaftarkan sebagai parti politik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 4:50 PM