SYED Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO Nur Aisyah Mazalan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin sudah membuat keputusan berhubung rayuan untuk mendaftarkan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebagai sebuah parti politik.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Persekutuan M. Kogilambigai yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp tadi.

Kogilambigai berkata, beliau sudah memaklumkan kepada mahkamah bahawa satu keputusan dibuat oleh menteri (Hamzah) berhubung rayuan MUDA dan perkara itu dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara, namun butiran keputusan masih belum diterima.

"Kementerian Dalam Negeri akan memaklumkan keputusan itu secara rasmi kepada pihak MUDA," katanya selepas prosiding secara dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin tadi.

Pendengaran permohonan semakan kehakiman pengasas parti itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan 12 individu lain selaku pemohon bagi mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang belum membuat keputusan terhadap rayuan MUDA untuk mendaftarkan parti berkenaan sepatutnya ditetapkan hari ini.

Sementara itu, peguam Lim Wei Jiet yang mewakili kesemua pemohon ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara yang dimaklumkan itu, namun memberitahu bahawa setakat ini pihaknya masih belum menerima keputusan sama ada rayuan itu diterima atau ditolak.

"Berdasarkan kepada perkembangan kes ini, pendengaran semakan kehakiman ditangguhkan ke 18 Ogos ini. Kami berharap pihak Menteri Dalam Negeri dapat memaklumkan kepada parti MUDA berkenaan keputusan rayuan secepat mungkin, memandangkan isu ini sudah berpanjangan sekian lama," katanya.

Syed Saddiq, pengasas parti itu serta 12 individu, memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman pada 26 April lepas untuk mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang masing-masing dinamakan sebagai responden pertama dan kedua.

Pada 25 Mei lalu, MUDA memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi bagi memulakan semakan kehakiman itu.

Dalam permohonan itu, mereka memohon suatu perintah mandamus untuk responden pertama (Menteri Dalam Negeri) mencapai suatu keputusan di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 berhubung rayuan pemohon terhadap keputusan RoS pada 6 Januari lalu yang menolak pendaftaran MUDA sebagai pertubuhan di bawah kategori parti politik dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah berkenaan.

Mereka juga memohon suatu perintah ganti rugi termasuk ganti rugi teruk dan teladan yang akan dinilai selain kebebasan untuk memohon serta segala relif, arahan dan perintah yang diperlukan sebagaimana difikirkan adil oleh mahkamah.

Pada 4 Februari, MUDA menghantar surat rayuan berhubung pendaftarannya sebagai sebuah parti politik kepada RoS dan Hamzah.

Permohonan pendaftaran parti itu dihantar pada September tahun lepas namun ditolak RoS pada Januari. - Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 5:25 PM