MOHAMMAD Yaakub Yusra (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Dr Siti Norhani Khalid.
MOHAMMAD Yaakub Yusra (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Dr Siti Norhani Khalid.
Redzuan Muharam


Alor Setar: Menyedari keperluan petugas barisan hadapan dalam tempoh pandemik, seorang pemuda, Asri Ahmad tampil memberi sumbangan tiga unit mesin perubatan gas darah arteri (ABG) bernilai RM105,000.

Asri, 30, menyampaikan mesin itu kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Hospital Jitra dan Hospital Baling, Kedah.

Inisiatif itu adalah kerjasama Asri menerusi syarikatnya, Asri Academy Sdn Bhd dengan Pusat Dakwah Murtadha (MADAD).

Pengarah Urusan MADAD, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusoff dilantik sebagai wakil yang menyampaikan sumbangan kepada Timbalan Pengarah Perubatan HSB, Dr Siti Norhani Khalid di Bilik Gerakan HSB, kelmarin.

Menurut Asri, sumbangan itu diberikan selepas mendapat nasihat oleh Malaysian Relief Agency (MRA) cawangan Kedah Darul Aman mengenai peralatan diperlukan hospital pada masa ini bagi membantu pesakit yang mengalami masalah pernafasan.

"Melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat, kami cuba menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan sama ada dalam bentuk tunai, barangan atau keperluan lain.

"Kami cuba berhubung dengan MRA dan dapat maklumat mengenai keperluan segera mesin ABG di beberapa hospital di Kedah.

"Oleh itu dana yang ada digunakan untuk menyediakan keperluan itu. Kami juga terinspirasi melakukannya selepas melihat usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dalam mengagihkan pelindung muka dan pelitup muka selain inisiatif selebriti antaranya Neelofa yang baru-baru ini menyumbang katil elektronik untuk kegunaan pesakit Covid-19 di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Melaka," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Asri berharap, sumbangan itu membantu hospital terbabit dalam menampung keperluan berikutan peningkatan bilangan pesakit.

"Kita dapat tahu banyak Unit Rawatan Rapi (ICU) terpaksa dibuka disebabkan pertambahan pesakit.

"Ia bukti kemudahan peralatan perubatan amat diperlukan pihak hospital jadi sumbangan mesin itu diharap memberi manfaat.

"Diharap, lebih banyak NGO dan syarikat korporat tampil membantu menyediakan peralatan perubatan serta menghubungi MRA untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 9:45 PM