Norzamira Che Noh

Shah Alam: Enam pegawai dan kakitangan sebuah bank direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada pemohon pinjaman peribadi pada 2018 hingga 2020.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, kesemua individu berusia 36 hingga 45 tahun itu tiba di perkarangan Mahkamah Shah Alam pada jam 10.55 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Semalam, enam lelaki berkenaan ditahan di Pejabat SPRM Shah Alam sekitar jam 4.45 petang selepas disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemohon pinjaman peribadi membabitkan 110 transaksi berjumlah kira-kira RM18 juta.

ENAM pegawai dan kakitangan sebuah bank direman tujuh hari bermula hari ini. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
ENAM pegawai dan kakitangan sebuah bank direman tujuh hari bermula hari ini. FOTO Muhd Asyraf Sawal.

Menurut sumber, wang rasuah itu adalah sebagai balasan untuk meluluskan permohonan pembiayaan dari pemohon yang sebenarnya tidak layak untuk membuat pinjaman.

"Mereka dipercayai meminta dan menerima wang suapan antara 15 hingga 35 peratus daripada sejumlah 110 pinjaman pembiayaan peribadi yang bernilai kira-kira RM18 juta," katanya.

Sumber memberitahu, pegawai dan kakitangan berkenaan bertugas di beberapa cawangan bank itu di sekitar Lembah Klang.

Difahamkan, SPRM juga telah merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM69,000 dan beberapa jam tangan mewah serta telefon bimbit dari rumah suspek di Putrajaya dan Selangor membabitkan nilai keseluruhan sitaan berjumlah lebih RM100,000.

Berita berkaitan:

  • Enam pegawai, kakitangan bank lulus pinjaman peribadi RM18j ditahan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 1:09 PM