Norzamira Che Noh


Shah Alam: Bekas pengurus besar kanan sebuah syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima rasuah dari dua individu pada 2017 dan 2019.

Tertuduh, Chua Shiou Meng, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan berjumlah RM10,000 setiap bulan daripada seorang individu sebagai dorongan tidak memberikan laporan prestasi kerja kurang baik dan menyebabkan kontrak syarikat individu terbabit dibatalkan.

Bagi pertuduhan kedua, Shiou Meng didakwa secara rasuah menerima daripada individu yang sama satu suapan iaitu wang berjumlah RM140,000 sebagai dorongan untuk tidak memberikan laporan prestasi kerja yang kurang baik dan boleh menyebabkan kontrak syarikat dibatalkan.

Mengikut pertuduhan ketiga, Shiou Meng didakwa secara rasuah menerima suatu suapan iaitu wang berjumlah RM75,700 daripada seorang lagi individu melalui akaun isterinya sebagai dorongan untuk tidak memberikan laporan prestasi kerja yang kurang baik dan boleh menyebabkan kontrak syarikat dibatalkan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan antara Januari 2017 hingga Januari 2019 di dua bank di Bandar Puchong Jaya dan Bandar Puchong Puteri.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Seorang bekas Pengurus Besar Kanan sebuah syarikat pembinaan, Chua Shiou Meng, 49 (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas kesalahan di bawah Sesyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana meminta dan menerima rasuah sekitar Jun 2017 hingga Januari 2019. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Seorang bekas Pengurus Besar Kanan sebuah syarikat pembinaan, Chua Shiou Meng, 49 (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas kesalahan di bawah Sesyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana meminta dan menerima rasuah sekitar Jun 2017 hingga Januari 2019. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM100,000 bersama seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM Selangor.

Tertuduh yang diwakili peguam, Nik Ahmed Asraf Nik Othman, Shah Rizal Abdul Manan serta Kelvinder Singh kemudian memohon mahkamah mengurangkan jumlah wang jaminan serta memaklumkan tertuduh tidak akan lari dan akan hadir ke mahkamah apabila dipanggil.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 April sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 2:11 PM