Samadi Ahmad


Putrajaya: Ketua pegawai eksekutif (CEO) anak syarikat bank dan dua individu direman lima hari berhubung kes menerima rasuah berjumlah lebih RM24 juta.

Perintah tahanan reman ke atas mereka yang berusia 50-an, 53 tahun dan 58 tahun dikeluarkan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor di Mahkamah Majistret di sini, bermula hari ini hingga Sabtu.

Kebenaran itu selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, semua suspek tiba di mahkamah secara berasingan dan memakai pakaian lokap SPRM.

TIGA individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif wanita sebuah bank dibawa untuk permohonan tahan reman oleh SPRM. FOTO Samadi Ahmad
TIGA individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif wanita sebuah bank dibawa untuk permohonan tahan reman oleh SPRM. FOTO Samadi Ahmad

Mereka ditahan kira-kira 6 petang semalam selepas hadir di ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan, kerana disyaki meminta 'habuan' sebagai balasan bagi meluluskan pinjaman sebuah syarikat tempatan berjumlah lebih RM294 juta.

Menurut sumber, wanita itu yang juga CEO dipercayai menerima wang rasuah berjumlah lebih RM24 juta ketika berkhidmat dengan anak syarikat sebuah bank sekitar 2010.

Suspek lelaki berusia 53 tahun pula bekerja sebagai perunding kewangan, manakala rakannya tidak bekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 1:32 PM