GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


IKATAN Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) berharap kerajaan dapat memberikan insentif tambang murah kepada guru dari Semenanjung untuk kembali bertugas ke Sabah dan Sarawak atau sebaliknya.

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan , berkata insentif itu bagi membantu guru supaya tidak berhadapan beban kewangan tinggi sebaik memulakan tugas selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Bersyarat (PKPB) tamat.

Katanya, pihaknya sedia maklum berkaitan arahan kepada guru supaya kembali bertugas ke tempat asal bekerja berdasarkan surat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 4 Jun lalu.

"Namun arahan ini boleh memberikan sedikit masalah kepada guru yang berada di Semenanjung untuk merancang pulang bertugas di Sabah dan Sarawak atau sebaliknya terutama kepada mereka yang berkeluarga.

"Ini kerana ia berkaitan dengan kos penerbangan, jadual penerbangan, tempoh kuarantin dan jarak serta perjalanan ke tempat bertugas terutama yang bertugas di kawasan luar bandar dan pendalaman.

"Justeru, kami berharap insentif tawaran harga penerbangan yang murah dan berpatutan dapat diberikan kepada guru terbabit terutama yang berkeluarga dengan pakej diskaun atau pembiayaan kerajaan," katanya dalam kenyataan di Seremban, hari ini.

Mohd Azizee berkata, pihaknya juga berharap jadual penerbangan ditambah dari dua kali kepada empat kali seminggu untuk tempoh terdekat bagi menyelesaikan isu guru di Semenanjung ke Sabah dan Sarawak atau sebaliknya.

"Kami (i-Guru) berharap keprihatinan pihak yang berkaitan dapat membantu untuk menangani masalah itu supaya guru dapat kembali bertugas ke tempat kerja masing-masing dengan selamat dan lancar," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Azizee menggesa pihak pentadbir sekolah menggunakan budi bicara dalam urusan guru untuk kembali memulakan tugas seperti biasa.

Menurutnya, pihak pengurusan sekolah diharap dapat mengutamakan guru yang sedia ada di dalam kawasan bertugas terlebih dahulu sebelum mereka yang berada di luar kawasan memulakan tugas.

"Kami yakin ia boleh dilakukan secara berperingkat mengikut keutamaan dan kesesuaian masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 11:14 AM