GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pencapaian cemerlang dalam keputusan keseluruhan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 membuktikan kesatuan semua pihak untuk melakukan yang terbaik, meskipun berdepan cabaran akibat pandemik Covid-19.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) Mohd Azizee Hasan berkata, lebih membanggakan apabila pencapaian pelajar di luar bandar mengatasi pelajar bandar, yang menunjukkan kekangan kemudahan seperti capaian Internet dan peranti pembelajaran bukan halangan untuk berjaya.

"Kedua, ia membuktikan guru-guru kita sudah memberikan komitmen yang terbaik untuk memastikan pelajar mencapai kejayaan.

"Ia juga menunjukkan pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dilalui membuahkan hasil baik kesan kerjasama semua pihak iaitu sekolah, guru dan ibu bapa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Azizee berkata, motivasi dan kesungguhan seseorang pelajar juga faktor penentu kejayaan individu terutama mereka yang berdepan isu ketika belajar secara PdPR.

Beliau juga menyifatkan usaha, program dan dasar dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar mula menampakkan hasil.

"Kita harap program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) nanti lebih merapatkan jurang pendidikan dan jurang digital," katanya.

Menurutnya, percaya pengalaman menghadapi peperiksaan di kala pandemik akan menjadikan pelajar tahun ini lebih bersedia dan guru perlu bekerja keras lagi untuk sama-sama mengekalkan pencapaian terbaik.

Bagi pihak ibu bapa katanya, golongan itu perlu memudahkan pembelajaran anak masing-masing dan memberi sokongan emosi dan material, seiring pelan KPM untuk mengelak keciciran murid dan bergerak mendepani pentaksiran digital.

Terdahulu hari ini, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan pencapaian SPM 2020 dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80, adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun.

Dilaporkan, pencapaian calon di bandar dan luar bandar meningkat berbanding 2019, dengan pencapaian calon luar bandar lebih tinggi berbanding calon di bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 3:03 PM