GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

Seremban: Kementerian Pendidikan (KPM) diharap dapat mengkaji semula cadangan pembukaan sekolah secara bersemuka pada 1 September ini berikutan kes positif pandemik Covid-19 masih tinggi.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) Mohd Azizee Hasan berkata, majoriti ibu bapa melahirkan kebimbangan untuk menghantar anak mereka ke sekolah ketika kes positif Covid-19 belum menunjukkan pengurangan ketara.

"Kami berharap KPM dapat mempertimbangkan dan mengkaji semula tarikh pembukaan sekolah memandangkan kes Covid-19 yang melepasi angka 20,000 ketika ini.

"Pandangan dari pemegang taruh pendidikan seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Majlis Guru Besar Malaysia dan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia wajar diperoleh mengenai perkara ini.

"Jika kes semakin meningkat, ia menjadi kebimbangan dan kerisauan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pembukaan sekolah wajar ditangguh ke tarikh yang bersesuaian sehingga meyakinkan semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan pelajar untuk ke sekolah.

Katanya, pihaknya berharap KPM dapat membuat keputusan yang jelas dan tepat berdasarkan data dan sains.

"Sebaiknya perlu ada pelan dan agenda yang jelas jika sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilanjutkan sehingga ke hujung tahun ini untuk mengelak keciciran murid dan mengatasi kelesuan motivasi ketika PdPR dilaksanakan," katanya.

Mohd Azizee berkata, bagaimanapun jika KPM kekal dengan keputusan pembukaan sekolah pada bulan depan, beberapa langkah termasuk usaha memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) disarankan untuk diambil.

Menurutnya, kementerian itu wajar menyelesaikan program vaksinasi komuniti sekolah hingga mencapai tahap imuniti 90 peratus.

"Ia termasuk juga vaksinasi kalangan ibu bapa pelajar tahun peperiksaan membabitkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia yang sudah mencapai usia 18 tahun.

"Selain itu, KPM perlu juga membentangkan SOP khas untuk pelajar yang belum menerima suntikan vaksin yang berada di dalam dan luar kawasan sekolah," katanya.

Beliau berkata, pembukaan sekolah secara berfasa dengan keutamaan kepada sekolah yang berada di luar bandar dan pendalaman yang kurang murid serta berada di kawasan hijau dan kadar penerimaan vaksinnya melebihi had imuniti kelompok wajar juga diambil kira.

Justeru, katanya, melaksanakan penggiliran murid ke sekolah mengikut keutamaan seperti pra sekolah dan tahap satu perlu diberikan keutamaan bagi menangani isu penguasaan kemahiran 3M.

Menurutnya, kuasa aotonomi wajar diberikan kepada sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah dalam menentukan apa yang terbaik untuk sekolah daripada sudut pembukaan dan pelaksanaan pengajaran.

"Tambahan pula, sudah ada petunjuk kes baharu harian Covid-19 yang semakin menurun di sesetengah negeri dan tempat hingga ke paras munasabah untuk dibenarkan sekolah dibuka semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 2:01 PM