MOHD Mohd Azizee Hasan (dua dari kiri) menyerahkan peralatan peranti kepada Suriya Putri Jaafar di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil.
MOHD Mohd Azizee Hasan (dua dari kiri) menyerahkan peralatan peranti kepada Suriya Putri Jaafar di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


IKATAN Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menyasarkan 1,000 tablet lengkap dengan Internet untuk diagihkan kepada murid daripada keluarga kurang berkemampuan.

Ia bagi membantu mereka meneruskan proses pembelajaran dari rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, projek di bawah Waqaf Tablet Anak Cemerlang (PWTAC) dengan kerjasama Yayasan Maghfirah itu diharap dapat membantu anak daripada keluarga miskin yang tidak berkeupayaan dalam memiliki perkakas peranti pintar untuk memudahkan mereka mengikuti pembelajaran dalam talian.

"Usaha ini diharap dapat membantu mereka keluar daripada garis kemiskinan dan memberi harapan kehidupan baharu.

"Kami dapati terdapat kalangan murid terutama dari kawasan pinggir bandar dan pedalaman tidak berkemampuan memiliki peranti pintar, sekali gus menyukarkan mereka untuk meneruskan pembelajaran dalam talian ketika PKPP.

"Menerusi bantuan peralatan ini, kami berharap mereka tidak ketinggalan untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian," katanya selepas majlis perjanjian persefahaman (MoU) antara i-Guru dengan Yayasan Maghfirah di Pejabat i-Guru Cawangan Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Perjanjian ditandatangani antara Mohd Azizee dan Pengurus Besar Yayasan Maghfirah, Aulia Rahman Zulkarnain.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Maghfirah Azzahar Abd Aziz.

Pada majlis itu, i-Guru menyerahkan perkakasan peranti kepada Suriya Putri Jaafar, 14, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Sheikh Ahmad Seremban.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 3:55 PM