FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Persatuan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) berharap Kementerian Pendidikan (KPM) membuat kajian menyeluruh terhadap keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan sebagai terbaik dicapai dalam tempoh lima tahun.

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan, berkata kajian itu perlu membabitkan kalangan mereka yang pakar dalam bidang pendidikan.

"Kajian itu penting dilakukan bagi menjelaskan isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak terutama membabitkan pelajar luar bandar yang dilaporkan mencapai keputusan lebih baik berbanding pelajar berada di bandar.

"Pakar-pakar bidang pendidikan KPM perlu membuat kajian terhadap keputusan SPM 2020 ini supaya isu dibangkitkan pihak tertentu terhadap keputusan itu dapat dijelaskan.

"Rata-rata sedia maklum bahawa calon SPM di luar bandar berdepan dengan isu akses Internet dan alat peranti ketika mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang tahun lalu," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain tidak dapat hadir secara bersemuka ke kelas, pelajar juga berhadapan pelbagai kekangan lain.

Mohd Azizee berkata, data juga menunjukkan terdapat seramai 19,601 calon tidak hadir dalam peperiksaan berkenaan kerana pelbagai masalah dihadapi.

"Justeru, perkara ini perlu dirungkai dengan jelas oleh kementerian supaya tidak timbul salah tanggapan atau dimanipulasi pihak tertentu," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya mengucapkan tahniah kepada pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.

Menurutnya, walaupun berdepan pandemik Covid-19, mereka dapat melakukan yang terbaik, malah pencapaian pelajar di luar bandar lebih baik dari bandar sesuatu yang membanggakan.

"Walaupun berdepan kekangan kemudahan seperti capaian Internet dan alat peranti, pelajar menunjukkan kesungguhan untuk berjaya.

"Ia menggambarkan guru-guru memberikan komitmen yang terbaik untuk memastikan pelajar mencapai kejayaan.

"Kita berharap Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) mampu berjaya dalam merapatkan lagi jurang pendidikan dan digital," katanya.

Khamis lalu, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, memaklumkan seramai 9,411 atau 2.46 peratus daripada 381,894 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2020 memperoleh keputusan semua A.

Dr Radzi berkata, seramai 78,731 atau 20.62 peratus memperoleh keputusan sekurang-kurangnya kepujian manakala 146,447 (38.35 peratus) memperoleh keputusan lulus dan 31.81 peratus atau 121,496 calon memperoleh keputusan sekurang-kurangnya gagal satu mata pelajaran.

Keputusan peperiksaan SPM 2020 juga menunjukkan peningkatan calon bandar dan luar bandar.

#kw SPM, KPM, luar bandar

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 2:57 PM