Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan. FOTO Mohd Amin Jalil.
Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memastikan pengagihan alat peranti di kalangan murid keluarga B40 melalui kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor korporat dilaksanakan dengan efisyen.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) Mohd Azizee Hasan berkata, langkah proaktif dan agresif itu penting bagi menjamin semua murid tidak tercicir pendidikan khususnya dari kelompok rentan.

"Laporan bahawa pengagihan alat peranti kepada murid B40 hanya membabitkan 40,290 unit bulan ini, dilihat belum mencukupi.

"KPM perlu memastikan ia dilunaskan secepat mungkin tanpa menanti tempoh yang lama. Langkah proaktif itu bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang perlu diteruskan susulan sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih belum berakhir," katanya semalam.

Beliau berkata, warga guru berhadapan kekangan dalam menjamin keberkesanan PdPR termasuk isu capaian jalur lebar yang lemah terutama membabitkan kawasan pinggir bandar dan pedalaman.

Katanya, data kajian menunjukkan keberkesanan PdPR setakat ini khususnya berkait dengan kehadiran murid tidak mencapai 80 peratus berpunca daripada pelbagai halangan berkenaan.

"Guru-guru juga berdepan dengan kekangan persediaan lain dalam menjalankan PdPR khususnya mereka yang tidak mahir teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) selain berada di lokaliti akses internet yang rendah dan karenah murid dari pelbagai latar belakang sosio-ekonomi.

"Justeru, kita (i-Guru) berharap usaha vaksinasi kalangan guru dan murid perlu dipercepatkan bagi membolehkan sesi persekolahan bersemuka dapat dilaksanakan semula," katanya.

Beliau berkata, bangunan sekolah juga dilihat boleh digunakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam melancarkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

"Kita berterima kasih dengan kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) yang membenarkan murid seusia 12 tahun menerima suntikan vaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 6:16 PM