GAMBAR terakhir James (kiri) bersama adiknya, Jantai yang dirakam di Rantau Penora, Kapit, baru-baru ini. FOTO ihsan Facebook Tan Sri James Masing
GAMBAR terakhir James (kiri) bersama adiknya, Jantai yang dirakam di Rantau Penora, Kapit, baru-baru ini. FOTO ihsan Facebook Tan Sri James Masing
Mohd Roji Kawi


Kuching: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkongsi kesedihan kerana tidak dapat menyempurnakan persemadian adik bongsunya, Jantai Masing yang meninggal dunia akibat Covid-19, semalam.

Masing dalam hantaran di Facebooknya semalam berkata, terlalu berat untuk menerima hakikat kehilangan orang yang disayangi.

Lebih menyedihkan katanya, apabila tidak dapat menyentuh serta melihatnya untuk kali terakhir.

"Sangat sukar untuk hanya melihat dari kejauhan ketika mereka menurunkan keranda yang berbungkus ke tanah kerana kami tidak dibenarkan mendekati kubur," katanya.

Masing berkata, orang ramai tidak harus menganggap pandemik perkara remeh sehingga mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi membendung penularannya.

"Covid-19 harus dipandang serius. Rasa sakit kehilangan seseorang yang tidak dapat anda pegang atau lihat buat kali terakhir tidak dapat ditanggung," katanya dalam catatan itu.

Justeru, beliau merayu agar orang ramai sedar betapa bahayanya wabak itu dan beliau mengharapkan program imunisasi dapat dilaksanakan secara menyeluruh dengan segera.

"Semakin cepat kita diberi vaksin, semakin baik," katanya yang turut menyertakan gambar terakhir beliau bersama adik bongsunya itu di Rantau Penora, Kapit, baru-baru ini.

Jantai, 63, meninggal dunia Isnin lalu selepas disahkan positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 11:36 AM