DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg. FOTO Bernama
DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg. FOTO Bernama
Mohd Roji Kawi


Kuching: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg menyifatkan pemergian Tan Sri Dr James Jemut Masing sebagai kehilangan besar bagi pentadbiran Sarawak khususnya dalam usaha membangunkan negeri ini.

Ini kerana menurutnya, Timbalan Ketua Menteri berusia 72 tahun itu banyak menyumbangkan idea untuk membangunkan kawasan luar bandar dan masyarakat Dayak.

Justeru katanya, beliau terasa amat kehilangan selepas menerima berita kematian Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu pagi tadi.

"Sudah tentu pemergian beliau kehilangan yang amat besar bagi saya sebagai seorang kawan dan juga rakan dalam Kabinet Sarawak.

"Beliau memberi banyak sumbangan khususnya membangunkan kawasan luar bandar selama beliau berada dalam kabinet sejak era Pehin Sri (Tun Abdul Taib Mahmud, diikuti zaman Tok Nan (Allahyarham Tan Sri Adenan Satem) dan kemudian bersama saya," katanya kepada media pada majlis di Lawas, hari ini.

Abang Johari berkata, mendiang sempat menghadiri satu mesyuarat Kabinet Sarawak sebelum beliau dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana disahkan dijangkiti Covid-19 pada 28 September lalu.

"Sepatutnya beliau menghadiri mesyuarat kedua tidak lama selepas itu, namun masalah kesihatan menyebabkan beliau tidak dapat menghadiri mesyuarat itu," katanya.

Mengenai persediaan PRS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12), Abang Johari berkata, beliau yakin pemimpin parti itu akan meneruskan usaha yang ditinggalkan mendiang.

Masing yang disahkan dijangkiti Covid-19 menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Pakar Normah di Petra Jaya, di sini, pada jam 7.05 pagi tadi.

Sebelum itu, beliau menerima rawatan di HUS sejak 28 September lalu dan ditidurkan akibat komplikasi jangkitan Covid-19 dan minggu lalu beliau dipindahkan ke Pusat Perubatan Pakar Normah untuk rawatan lanjut.

Mendiang meninggalkan seorang balu, Puan Sri Corrine Masing serta lima anak dengan empat daripadanya perempuan.

Pada 31 Mei lalu, adik beliau, Jantai Masing, 63, juga meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.

Mendiang Masing menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Baleh selama lapan penggal sejak 1983.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri pada 2016, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Kabinet Sarawak antaranya Menteri Pembangunan Tanah serta Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan.

Selain itu, dalam kabinet Abang Johari, beliau turut diberi kepercayaan sebagai Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan.

From: Mohammad Roji

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 12:18 PM