SJR di Lebuhraya Persekutuan.
SJR di Lebuhraya Persekutuan.
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Sebanyak 193 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal yang didapati tidak mengikuti lorong khas motosikal di Lebuhraya Persekutuan bagi tempoh bermula 8 Mei hingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Lebuhraya Persekutuan terletak dalam pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sepanjang 11 kilometer bermula Kilometer (KM) 16 hingga KM 34.

"Lorong motosikal ada disediakan di kiri dan kanan lebuh raya berkenaan yang menghala ke Kuala Lumpur dan Klang. Namun, masih ramai penunggang motosikal yang ingkar dan masih menggunakan laluan utama.

"Tindakan terbabit sekali gus mengundang bahaya kepada penunggang motosikal itu sendiri serta pengguna jalan raya lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya juga mendapati terdapat segelintir penunggang motosikal yang menggunakan laluan masuk serta keluar tol di lebuh raya itu sebagai jalan pintas.

"Kegagalan mematuhi penggunaan lorong motosikal yang disediakan boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Selain itu, terdapat empat kes kemalangan direkodkan di lokasi SJR Op Covid-19 di lebuh raya berkenaan pada tempoh sama yang berpunca daripada kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, cuai serta tidak memberi tumpuan kepada kenderaan di hadapan.

"Malah, kemalangan berkenaan juga mengakibatkan beberapa kerosakan terhadap peralatan SJR di lokasi terbabit," katanya.

Beliau menasihatkan semua penunggang motosikal supaya sentiasa menggunakan lorong khas yang disediakan.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap semua pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan lalu lintas mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 4:40 PM