Antara pengunjung pusat hiburan yang diperiksa polis di Kuala Lumpur malam tadi. Foto Ihsan PDRM
Antara pengunjung pusat hiburan yang diperiksa polis di Kuala Lumpur malam tadi. Foto Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seramai 112 pengunjung sebuah pusat hiburan di sini, dikompaun polis berjumlah RM580,000 selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) semalam.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur Datuk Azman Ayob berkata, pihaknya menjalankan serbuan di pusat hiburan berkenaan 9 malam tadi.

"Dalam serbuan itu, kami mengeluarkan kompaun terhadap 112 pengunjung pusat hiburan terbabit membabitkan 59 lelaki dan 53 wanita.

"Selain itu, kami turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM25,000 kepada pemilik premis berkenaan atas kesalahan melanggar SOP kerana melakukan aktiviti terlarang iaitu operasi pusat hiburan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, pihaknya juga merampas 80 botol arak bagi membantu siasatan kes terbabit.

"Kita juga menjalankan ujian saringan awal air kencing secara rambang terhadap 32 pengunjung dengan empat wanita serta dua lelaki didapati positif dadah.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Bagi tindakan kompaun, ia dibuat mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) PPN 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 3:27 PM