SEBAHAGIAN pekerja warga asing ditahan dalam serbuan Operasi Patuh (Op Patuh) di Taman Perindustrian Subang. FOTO AIZUDDIN SAAD
SEBAHAGIAN pekerja warga asing ditahan dalam serbuan Operasi Patuh (Op Patuh) di Taman Perindustrian Subang. FOTO AIZUDDIN SAAD
Nurul Hidayah Bahaudin


Subang Jaya: Tiga kompaun dan satu saman dikeluarkan pihak berkuasa menerusi Op Patuh di sebuah kilang pembuatan keluli di Taman Perindustrian Subang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, berdasarkan rekod, kilang itu dikenakan tiga kompaun bernilai RM6,000 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) selain satu saman oleh pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

"Tindakan oleh JAS itu diambil mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"MBSJ pula mengambil tindakan mengikut Undang-Undang Kecil, Undang-Undang Kecil Pelesenan Trade, Perniagaan dan Perindustrian (MPSJ) 2007.

"Pada masa sama, kami akan menyemak semula surat kebenaran beroperasi yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) terhadap kilang berkenaan," katanya ketika di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, hari ini.

Beliau menasihatkan setiap syarikat diingatkan supaya mempunyai surat pengesahan perkhidmatan penting dan patuh setiap peraturan yang dikeluarkan.

"Masyarakat atau pekerja juga boleh menyalurkan sebarang maklumat berkenaan kesalahan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan diri terjamin," katanya.

Pelaksanaan Op Patuh secara besar-besaran dan bersepadu di seluruh negara bermula 2 Julai 2021.

Op Patuh besar-besaran itu membabitkan strategi yang lebih drastik melalui pemeriksaan lebih ketat serta pemantauan lebih menyeluruh dengan penggunaan aset-aset strategik seperti helikopter, dron dan sekatan jalan raya bergerak milik agensi-agensi penguatkuasaan yang terbabit antaranya seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 7:31 PM