ANTARA pengunjung pusat hiburan yang didapati melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN). FOTO Ihsan polis.
ANTARA pengunjung pusat hiburan yang didapati melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN). FOTO Ihsan polis.
Amir Abd Hamid


Petaling Jaya: Seramai 18 pengunjung sebuah pusat hiburan di Sea Park, di sini, dikompaun RM18,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam serbuan polis awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam serbuan jam 1.50 pagi itu, setiap pengunjung dikenakan kompaun RM1,000.

Menurutnya, dalam serbuan sama polis turut menahan enam warga asing termasuk lima pelayan wanita berusia 22 hingga 33 tahun kerana bekerja tanpa permit sah.

"Operasi dilakukan ketika pengunjung sedang leka berhibur di premis yang beroperasi melebihi masa ditetapkan.

"Tindakan kompaun mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kerana mengingkari arahan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah).

"Individu ditahan pula disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana dengan cuai menyebabkan jangkitan apa-apa penyakit berjangkit atau berbahaya, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963 (menggaji pekerja asing tanpa permit sah) serta Seksyen 39(B) akta sama (bekerja tanpa permit sah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP Fasa 4 PPN yang masih berkuat kuasa bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 8:06 PM