ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan di sebuah unit kondominium di Jalan Raja Chulan, Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang mengadakan parti liar. FOTO Ihsan PDRM
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan di sebuah unit kondominium di Jalan Raja Chulan, Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang mengadakan parti liar. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lima penjawat awam antara 12 individu yang ditahan apabila didapati positif dadah selepas menyertai parti liar bagi sambutan hari lahir di sebuah unit kondominium di Jalan Raja Chulan, Bukit Bintang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya membuat serbuan di lokasi terbabit pada jam 4 pagi.

"Ketika serbuan dilakukan, kami tidak menemui barangan yang menyalahi undang-undang, namun terdapat satu laser dan dua pembesar suara di dalam premis itu yang dipercayai disediakan oleh penganjur parti terbabit.

"Kami menahan tujuh lelaki serta lapan wanita tempatan termasuk penganjur parti berkenaan berusia antara 20 hingga 40 tahun yang berada di dalam premis itu untuk pemeriksaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi siasatan lanjut.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati 12 daripada 15 individu terbabit termasuk lima lelaki penjawat awam didapati positif dadah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, siasatan awal mendapati parti itu diadakan untuk menyambut hari lahir seorang daripada suspek yang ditahan selain mereka didapati lepak dan berhibur dengan lagu rentak disko bermula jam 2 petang, kelmarin.

"Difahamkan suspek membuat tempahan bilik melalui ejen pada jam 1 tengah hari semalam dengan bayaran RM1,100 sehari selain membayar deposit pada jumlah yang sama.

"Suspek menjemput rakan mereka melalui kumpulan WhatsApp yang kemudian disebarkan oleh rakan-rakan ke kumpulan sembang lain. Semua pengunjung berkongsi wang untuk membayar sewa dan deposit premis terbabit.

"Mereka dipercayai ada menyediakan dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dalam bentuk jus campuran yang siap dibancuh dalam parti berkenaan," katanya.

Menurutnya, 12 individu yang positif dadah direman selama empat hari bermula semalam hingga 10 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Semua 15 individu itu turut dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

"Tindakan itu diambil mengikut Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 5:32 PM