LOKASI penemuan mayat mangsa. FOTO khaosodenglish.com
LOKASI penemuan mayat mangsa. FOTO khaosodenglish.com
Agensi

Bangkok: Polis Thailand melancarkan gerakan memburu dua suspek ahli kumpulan yakuza Jepun yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan rakan senegaranya di negara ini, baru-baru ini.

The Nation melaporkan polis berkoordinasi dengan pihak berkuasa antarabangsa untuk mendapatkan waran Interpol bagi penahanan dua suspek warga Jepun itu, dikenali sebagai Suzuki Hiroto, 33, dan Kato Takuya, 50.

Penyiasat mengesyaki pembunuhan berpunca daripada perjanjian yang salah antara samseng Jepun juga dikenali sebagai yakuza itu.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun pada 19 April menemukan lengan mangsa yang terputus dan mayatnya yang dicacatkan, disumbat ke dalam beg plastik hitam dan dibuang di Soi Sawang 2, kawasan terpencil di Bang Bua Thong, Nonthaburi.

Pencarian di kawasan itu mendedahkan beberapa penemuan ngeri yang dianggap ada kaitan dengan pembunuhan berkenaan.

Pada 21 April, penyiasat menemukan kapak dan gergaji yang dibuang kira-kira 2 kilometer (km) dari badan yang dikerat itu.

Kemudian pada 23 April, serpihan tengkorak dan sendi kecil ditemukan di lorong berhampiran dengan penemuan awal.

Semua bahagian badan dihantar untuk analisis forensik bagi mengesahkan ia milik orang yang sama, seorang lelaki Jepun berusia 47 tahun dengan nama Kabashima Ryosuke, lapor Bangkok Post.

Polis berkata, seorang suspek warga Thailand yang ditahan pada 23 April lalu mengaku membawa tiga lelaki Jepun dengan kenderaan ke sebuah gudang di pinggir Bangkok.

Suspek berusia 34 tahun, Kritsakorn Jaiphitak, juga dikenali sebagai Bom, memberitahu polis bahawa pertengkaran sengit berlaku antara lelaki di tempat duduk penumpang hadapan dan kedua-dua lelaki di tempat duduk belakang.

Apabila kenderaan itu tiba di kilang, seorang penumpang tempat duduk belakang mengarahkan Bom keluar dari kereta.

Selepas melangkah keluar untuk menghisap rokok, Bom terdengar bunyi tembakan dari dalam kereta dan berlari ke belakang, sebelum mendapati penumpang tempat duduk hadapan maut dengan kesan tembakan di kepala.

Bom mendedahkan, dua lelaki Jepun yang berada di tempat duduk belakang kemudian membawa mayat itu ke dalam gudang dan kembali semula dengan beberapa beg plastik hitam berat.

Mereka kemudian mengarahkannya untuk memandu ke lokasi berbeza, di mana mereka membuang beg terbabit.

Polis mengiringi Bom ke kilang untuk mencari bukti lanjut. Penyiasat mendakwanya kerana berkonspirasi untuk menyembunyikan dan melupuskan mayat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 12:07 PM