ANTARA daging kerbau sejuk beku yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
ANTARA daging kerbau sejuk beku yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas lebih 70 tan daging kerbau sejuk beku dari India ketika pemeriksaan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini, 2.20 petang semalam.

Hasil siasatan mendapati ia tidak mematuhi syarat permit import yang dikeluarkan MAQIS.

Pengarah MAQIS negeri, Noriah Dahlan berkata, keseluruhan dagangan itu juga gagal mempamerkan maklumat yang dikehendaki pada syarat import permit yang diluluskan.

"Berikutan itu, kesemua daging kerbau sejuk beku dianggarkan seberat 70,650 kilogram (kg) dan bernilai RM614,605.25 dirampas untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan pada permit import MAQIS adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15(2), akta yang sama.

"Dalam seksyen ini, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 6:32 PM