DAGING kerbau yang dirampas. FOTO Ihsan Maqis Selangor.
DAGING kerbau yang dirampas. FOTO Ihsan Maqis Selangor.
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Sebuah kontena yang membawa daging kerbau sejuk beku dari India seberat 28,008 kilogram ditahan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor di sini, Jumaat lalu.

Pengarahnya Dr Tarmisal Alimin berkata, penahanan kontena di pintu masuk Maqis Pelabuhan Klang Barat itu dilakukan ketika pegawai menjalankan pemeriksaan rutin harian.

"Hasil pemeriksaan kontena mendapati kosainan terbabit membawa daging kerbau sejuk beku tanpa permit import Maqis yang sah.

"Justeru, kontena itu ditahan dan daging kerbau sejuk beku seberat 28,008 kilogram dianggarkan bernilai RM270,980.67 ditahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tarmisal berkata, perbuatan mengimport daging sejuk beku tanpa permit import akan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), akta sama.

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

"Maqis sentiasa mengambil serius dalam isu membabitkan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan dagangan yang boleh mengancam keselamatan makanan dan status halal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 8:43 AM