PENDUDUK Palestin menjual belon di hadapan bangunan Al-Shuruq yang musnah akibat serangan udara rejim Zionis Israel di Gaza. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin menjual belon di hadapan bangunan Al-Shuruq yang musnah akibat serangan udara rejim Zionis Israel di Gaza. FOTO AFP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Penduduk Semenanjung Gaza pulang ke kediaman masing-masing sebagai meraikan kemenangan selepas gencatan senjata rejim Zionis Israel dengan Hamas.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al Nuri Kamarulzaman yang juga wakil tunggal negara di Palestin berkata, ketika ini tidak berlaku lagi serangan ke atas Gaza, hanya satu insiden saja berlaku di Masjid al-Aqsa selepas gencatan senjata.

"Tetapi tentera sudah berundur dari al-Aqsa dan mereka juga akan menunaikan apa yang dijanjikan dengan meninggalkan kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis," katanya kepada Metro Ahad.

Menurutnya, penduduk meraikan kemenangan itu dengan penuh kegembiraan tetapi dalam masa sama turut diselubungi kesedihan.

"Masing-masing sudah kembali ke rumah, tempat kerja dan perniagaan mereka. Ketika ini mereka merasai kepedihan apabila mendapati ada ahli keluarga dan rakan yang terkorban.

"Sehari dua selepas kemenangan ini mereka akan merasakan ada kesakitan dan kehilangan," katanya.

Menurutnya, kerja menyelamat dan mencari mangsa terkorban masih lagi dilakukan pihak berkuasa.

"Ketika ini mereka akan mula mencari mangsa yang masih berbaki untuk diselamatkan dan membantu mereka.

"Insha-Allah kita harapkan semua pihak tidak putus untuk membantu mereka, semoga ada rezeki berterusan di bumi Gaza ini," katanya.

Sementara itu, Nadir turut menjelaskan insiden di al-Aqsa selepas 12 jam gencatan senjata berpunca daripada seorang mufti di bawah lantikan kerajaan Fatah.

"Kawasan masjid diserbu tentera penjajah (Zionis Israel) untuk menyelamatkan mufti kerana hampir dipukul jemaah yang solat Jumaat di sana.

"Mufti berkenaan membangkitkan kemarahan apabila kemenangan Gaza disebut sebagai usaha kerajaannya sahaja dan langsung tidak disebutkan mengenai mujahidin dan syuhada Gaza yang menjadi bayaran kemenangan ini," katanya menerusi Telegram rasminya.

Serangan rejim Zionis di Semenanjung Gaza berlaku selama 11 hari menyebabkan 232 rakyat Palestin maut termasuk 65 kanak-kanak dan 1,900 cedera.

AFP melaporkan, rejim Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza sejak 10 Mei lalu selepas pejuang Hamas melancarkan roket ke arah wilayah dikuasai Israel.

Ia selepas Hamas memberi kata dua kepada Israel untuk mengundurkan pasukan keselamatannya yang bertempur dengan penunjuk perasaan warga Palestin di Masjid al-Aqsa.

Serangan udara itu turut menyebabkan satu-satunya makmal Covid-19 di Semenanjung Gaza, wilayah yang dikenakan sekatan oleh Israel, tidak dapat beroperasi.

Menurut pihak berkuasa Hamas, konflik itu menyebabkan 120,000 penduduk Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka untuk mencari perlindungan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 1:33 PM