PENDUDUK Palestin melihat kemusnahan menara Al-Shorouq yang musnah dalam serangan udara rejim zionis Israel di Semenanjung Gaza. FOTO EPA
PENDUDUK Palestin melihat kemusnahan menara Al-Shorouq yang musnah dalam serangan udara rejim zionis Israel di Semenanjung Gaza. FOTO EPA
AFP

Gaza: Bantuan kemanusiaan mula memasuki Semenanjung Gaza susulan pengumuman gencatan senjata Israel dan Hama selepas pertempuran selama 11 hari.

Konvoi lori membawa bantuan mula memasuki pintu masuk Kerem Shalom selepas ia dibuka semula oleh rejim zionis Israel.

Ia membawa makanan, bahan api dan ubat-ubatan yang amat diperlukan penduduk Palestin, ketika ini.

Dana Bantuan Kecemasan Pusat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, pihaknya sudah memperuntukkan A$18.5 juta (RM76.6 juta )untuk bantuan kemanusiaan itu.

Semalam, Hamas dan Israel mengumumkan gencatan senjata bermula jam 2 pagi.

Serangan rejim zionis di Semenanjung Gaza selama 11 hari itu menyebabkan 248 penduduk Gaza terkorban termasuk 66 kanak-kanak, sejak 10 Mei lalu.

Ia turut menyebabkan 1,948 cedera, menurut kementerian kesihatan.

Selain itu, ia menyebabkan kemusnahan bangunan apabila bangunan runtuh dan 120,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman untuk mencari tempat perlindungan, menurut Hamas.

Rejim Israel mendakwa pejuang Palestin melancarkan lebih 4,300 roket dari Semenanjung Gaza ke wilayah dikuasai Israel.

Bagaimanapun, Israel mendakwa 90 peratus daripadanya ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udaranya.

Di pihak Israel, angka korban direkodkan 12 orang, termasuk seorang kanak-kanak, seorang remaja dan askar Israel, selain seorang rakyat India dan dua warganegara Thailand.

Selain itu, seramai 357 orang cedera di kawasan dikuasai Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 10:53 AM