PENDUDUK Palestin meraikan pengumuman gencatan senjata antara Israel dan pejuang Hamas. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin meraikan pengumuman gencatan senjata antara Israel dan pejuang Hamas. FOTO AFP
AFP

Washington: Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menyifatkan gencatan senjata antara Israel dan pejuang Hamas sebagai 'peluang' untuk keamanan bagi kedua-dua pihak selepas 11 hari bertempur.

"Saya percaya kita mempunyai peluang untuk membuat penambah baikan dan saya komited bekerjasama ke arah itu," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai tanda sokongan terhadap perjanjian gencatan senjata diumumkan dua pihak terbabit.

Terdahulu, Israel dan pejuang Hamas, mengumumkan gencatan senjata pada Jumaat selepas pertempuran selama 11 hari yang menyaksikan serangan berterusan di Semenanjung Gaza.

Gencatan senjata itu bermula jam 2 pagi waktu tempatan.

Serangan rejim zionis di Semenanjung Gaza menyebabkan 232 rakyat Palestin maut, termasuk 65 kanak-kanak, manakala 1,900 lagi cedera.

Selain itu, ia memusnahkan beberapa bangunan termasuk yang menempatkan pejabat agensi media antarabangsa Al-Jazeera dan Associated Press.

Serangan udara itu turut menyebabkan satu-satunya makmal Covid-19 di Semenanjung Gaza, wilayah yang dikenakan sekatan oleh Israel, tidak dapat beroperasi.

Menurut pihak berkuasa Hamas, konflik itu menyebabkan 120,000 penduduk Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka untuk mencari perlindungan.

Di pihak Israel, serangan roket Hamas menyebabkan 12 orang maut termasuk dua kanak-kanak dan seorang askarnya selain seorang rakyat India dan dua warga Thailand, menurut polis.

Berita berkaitan:

  • UK sambut baik gencatan senjata Israel-Hamas
  • Israel dan Hamas umum gencatan senjata


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 9:12 AM