Foto hiasan
Foto hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) menahan seorang lelaki ketika sedang menjalankan aktiviti penerokaan hutan secara haram bagi tujuan penanaman pokok durian di Kompartmen 60, Hutan Simpan Bubu dalam daerah Hutan Kinta/Manjung di sini.

Penahanan lelaki itu dibuat pada 3 petang Sabtu lalu hasil risikan dan maklumat orang awam.

Jabatan itu dalam suatu kenyataan hari ini berkata, serbuan dibuat menerusi operasi penguatkuasaan menerusi rondaan dan pemantauan oleh anggota penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah Kinta/Manjung membabitkan beberapa kawasan panas dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) yang dikenal pasti.

Menurutnya, individu terbabit didapati menjalankan kerja pembersihan kawasan dengan menebang pokok hutan bagi tujuan penanaman pokok durian.

"Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk direkod keterangan sebelum dilepaskan melalui jaminan polis.

"Pasukan penguat kuasa turut menyita sebuah pacuan empat roda (4WD) yang digunakan suspek yang kemudiannya dibawa ke stor rampasan," katanya.

Menurutnya, lelaki itu boleh didakwa mengikut Seksyen 32(1) dan 47(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985.

"Sabit kesalahan bagi Seksyen 32(1) memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, manakala bagi Seksyen 47(1) memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Menurut kenyataan itu, pemantauan dan rondaan akan terus dilakukan JPNPk walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berjalan.

Sementara itu, sebanyak 51 lori pelbagai saiz yang membawa hasil hutan seperti kayu balak, kayu getah, buluh dan rotan dari HSK, tanah kerajaan serta tanah milik diperiksa secara rapi menerusi Ops Burasak yang dijalankan sempena cuti perayaan Aidilfitri kali ini.

Katanya, operasi bermula 4 petang pada 4 Mei hingga 2 pagi 7 Mei lalu membabitkan 50 kakitangan dan pegawai JPNPk yang ditempatkan di enam sekatan jalan raya (SJR) membabitkan lima pentadbiran Daerah Hutan (DH) serata negeri.

"DH itu merangkumi di Hulu Perak, Kuala Kangsar, Larut dan Matang, Kinta/Manjung dan Perak Selatan.

"Bagaimanapun, tiada sebarang penahanan atau tangkapan dibuat memandangkan kesemua pemandu lori berjaya mengemukakan dokumen atau permit sah dari JPNPk.

"Operasi dibuat secara bersepadu membabitkan beberapa agensi keselamatan yang lain iaitu polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 10:19 AM