Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membina wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Medan di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang, susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, wad ICU medan itu akan didirikan esok yang boleh memuatkan seramai 18 pesakit bukan Covid-19.

"Buat permulaan, kita akan memuatkan 18 katil pesakit ICU berbanding jumlah maksimum 24 katil boleh dimuatkan.

"Tiga pegawai dan 30 kakitangan lain-lain pangkat daripada 2 Batalion Perubatan akan ditempatkan di wad berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri sesi Taklimat Kesiagaan Perkhidmatan Kesihatan ATM Dalam Membantu Negara Menghadapi Covid-19 Aturgerak ICU Medan ke Hospital Kuala Batas di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini, hari ini.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Muez Abd Aziz; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain; Ketua Staf Markas ATM, Datuk Mohd Zakaria Yadi dan Pengarah Perubatan, Markas ATM (Bahagian Perkhidmatan Kesihatan), Datuk Dr Mohammad Amirrudin Hamdan.

ISMAIL Sabri, gambar fail. FOTO NSTP
ISMAIL Sabri, gambar fail. FOTO NSTP

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, ATM melalui Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) ATM sudah mendirikan tiga hospital medan di Tawau, Sabah; Pokok Sena, Kedah dan Kapit, Sarawak.

Katanya, ini tidak termasuk Hospital Medan ATM terbesar di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) berkapasiti 8,000 katil dalam membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merawat pesakit Covid-19.

Tambah beliau, ATM sedia mendirikan dua lagi hospital medan namun memerlukan tambahan pegawai perubatan, jururawat serta anggota paramedik termasuk peralatan.

"Kita memerlukan sekurang-kurangnya 30 pegawai perubatan dan 100 jururawat serta paramedik. Kita akan memohon pada kerajaan untuk menambah kakitangan yang diperlukan itu dan kekosongan jawatan itu boleh ditawarkan secara kontrak," katanya.

Ditanya mengenai KKM mempertimbangkan untuk melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat atau perintah kawalan pergerakan berskala penuh (PKP) di Selangor, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, sebarang keperluan dan keputusan mengenainya akan dibuat dalam mesyuarat berkenaan.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, PKP berskala penuh itu akan dilaksanakan sekiranya Selangor masih gagal mengekang penularan Covid-19.

Selangor merekodkan 10,393 kes jangkitan Covid-19 sepanjang minggu lalu, sekali gus negeri tertinggi dengan jangkitan virus berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 7:55 PM