DR Noor Hisham mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan untuk sesi Dry Run Field ICU. FOTO Facebook Dr Nooor Hisham
DR Noor Hisham mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan untuk sesi Dry Run Field ICU. FOTO Facebook Dr Nooor Hisham
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpandangan terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan Unit Rawatan Rapi Lapangan (Field ICU) yang dikhaskan untuk merawat pesakit kritikal di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu perlu diambil berdasarkan kepada analisa situasi semasa, faktor peningkatan kadar penggunaan katil ICU Covid-19 di hospital-hospital Pulau Pinang yang mencecah lebih daripada 100 peratus.

"KKM juga mendapati trend kemasukan pesakit ke ICU di Pulau Pinang meningkat lebih 45 peratus untuk tempoh dua minggu kebelakangan ini.

"Trend ini dijangka akan berterusan khususnya apabila wujudnya kluster-kluster baharu yang membabitkan rumah jagaan warga emas dan lain-lain," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook (FB) beliau, hari ini.

DRY run Field ICU di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan. FOTO Facebook Dr Nooor Hisham
DRY run Field ICU di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan. FOTO Facebook Dr Nooor Hisham

Terdahulu dalam kenyataan itu Dr Nooor Hisham berkata, pagi ini beliau berkesempatan mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan untuk sesi Dry Run Field ICU yang akan didirikan di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang, kelak.

Katanya, selepas sesi dry run itu, beliau mendengar penjelasan dalam sesi taklimat oleh Pengarah Perubatan Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Mejar Jeneral Datuk Dr Mohammad Amirrudin Hamdan.

"Taklimat itu menjelaskan persediaan melancarkan proses pembinaan Field ICU bagi menampung peningkatan kes-kes kritikal yang mendadak di Pulau Pinang.

"Sesi turut disertai delegasi KKM dari Program Perubatan dan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan bagi melancarkan proses pembinaan Field ICU ini.

"Field ICU yang bakal didirikan di Hospital Kepala Batas akan menggunakan konsep modular yang mana ia mampu merawat sehingga 27 pesakit kritikal Covid-19," katanya.

Konsep modular itu, katanya, mampu merawat pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan serta peralatan sokongan nyawa seperti mesin dialisis untuk pesakit alami kegagalan fungsi buah pinggang akibat daripada jangkitan Covid-19, dan infusion pump bagi menyokong fungsi jantung.

Menurutnya, selain itu, ATM juga akan mendirikan makmal modular dan unit radiologi modular bagi memberikan kemudahan perkhidmatan sokongan klinikal kepada pesakit-pesakit kritikal yang ditempatkan di Field ICU itu.

"Saya ingin mengambil kesempatan menyampaikan sekalung penghargaan dan ribuan terima kasih terutamanya kepada Jeneral Tan Sri Panglima Angkatan Tentera, Leftenen Jeneral Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, dan seluruh warga Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan atas segala kerjasama yang diberikan kepada KKM bagi membina Field ICU di Hospital Kepala Batas ini.

"Semoga segala usaha ini dapat membantu KKM dalam memastikan rawatan yang terbaik diberikan kepada pesakit-pesakit kritikal Covid-19 di Kepala Batas dan kawasan sekitarnya, seterusnya mengurangkan kadar kematian akibat Covid-19 di Malaysia," katanya.

ICU Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan. FOTO Facebook Dr Nooor Hisham
ICU Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan. FOTO Facebook Dr Nooor Hisham

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 5:09 PM